Malaysia Tidak Alami Pengaliran Keluar Modal Secara Besar-Besaran - Zeti

Diterbitkan: Isnin, 21 September 2015 10:17 PM

Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mengalami pengaliran keluar modal secara besar-besaran dan pantas namun terus menerima pelaburan langsung asing (FDI), kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Beliau berkata sebaliknya, aliran keluar modal yang besar disebabkan  syarikat berkaitan kerajaan dan domestik melabur di luar persisir untuk mempelbagaikan pelaburan mereka.

"Malaysia adalah pusat terbaik (untuk FDI) dan jika anda melihat imbangan pembayaran, ini yang ditunjukkan," katanya semasa sesi pada Forum Perkembangan Terkini Ekonomi Malaysia 2015 di sini Isnin.

Zeti berkata semasa krisis kewangan Asia, Malaysia mengalami aliran keluar modal dan serangan spekulatif terhadap ringgit oleh spekulator asing.

"Ketika itu, kita adalah antara negara yang tidak mengalami pengaliran keluar modal domestik. Mereka yakin terhadap dasar yang kita laksanakan dan mereka kekal bersama-sama kita, sebab itulah kita tidak mengalami kelumpuhan mata wang," katanya.

Zeti berkata Malaysia telah menjadi penerima FDI bagi tempoh lebih daripada 100 tahun.

Mengenai pelan penggantiannya, Zeti berkata bank pusat berkenaan kini merupakan institusi yang kukuh dan ia mempunyai proses untuk pelan penggantian lima peringkat ke bawah daripada gabenor hingga timbalan ketua jabatan.

"Saya sangat yakin penggantian telah tersedia dan kami juga mempunyai proses," katanya.

Tempoh pelantikan semasa Zeti akan berakhir pada April 2016.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan