Keluarga Jemaah Bersyukur Jenazah Ditemui

Diterbitkan: Isnin, 21 September 2015 6:23 PM

Ibu Shahidan Saad, Che Mun Puteh, 75, (duduk kiri) menunjukkan baju Allahyarham Shahidan Saad kepada cucunya Muhammad Afiq Amzar (kanan) ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kodiang Lama Luar, Isnin. Turut memerhati bapa Shahidan, Saad Dogoi, 76. Jenazah Shahidan, 52, dan Abdul Habib Lahman, 68, dari Sik, Kedah, yang hilang selepas runtuhan kren di Masjidil Haram, 11 September lalu disahkan waris-waris mereka melalui pengecaman dan berdasarkan barangan peribadi termasuk gelang tangan dan lencana pengenalan diri. Ahli keluarga Shahidan yang ditemui melahirkan gembira dan syukur selepas jenazahnya telah ditemui dan akan dikebumikan di Makam Muaissem, Mina. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

JITRA: Keluarga dua jemaah haji Malaysia yang pada mulanya dilapor hilang dan pada Isnin disahkan terkorban dalam tragedi kren runtuh di Masjidil Haram pada 11 September lalu bersyukur kerana jenazah kedua-dua rakan  itu akhirnya ditemui.

Pengecaman jenazah Shahidan Saad, 52, dari Kodiang dan Abdul Habib Lahman, 68, dari Sik dilakukan para waris dan keluarga mereka di rumah mayat Muaissem di Mina.

Adik Shahidan iaitu Nazimah Saad, 48, berkata keluarganya mendapat berita mengenai pengesahan jenazah abangnya menerusi aplikasi WhatsApp yang dihantar adik lelakinya Zulkhakimi, 37, kira-kira pukul 6 pagi tadi dari Makkah.

Beliau berkata Zulhakimi dan seorang lagi abangnya Sobri berada di Makkah bagi melakukan proses pengecaman jenazah.


"Allahyarham abang saya dan Abdul Habib ditemui di tingkat tiga Masjidil Haram selepas pihak berkuasa melihat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV)," katanya ketika ditemui di rumah ibu bapa mereka di Kampung Kodiang Lama Luar dekat sini Isnin.

Menurut Nazimah, Zulhakimi memaklumkan bahawa Abdul Habib sedang memberi air zam zam kepada abangnya sebelum berlakunya tragedi itu.

"Proses mandi dan mengkafankan kedua-dua jenazah akan diuruskan oleh pihak Tabung Haji sebelum dikebumikan selepas solat Zohor (waktu Makkah) di Makam Muaissem di Mina," katanya.

Sementara itu ibunya, Che Mun Puteh, 75, berkata kegelisahan dan kebimbangannya terhadap kehilangan anak ketiganya itu terubat selepas mendapat tahu jenazah anaknya telah ditemui.


"Syukur akhirnya jenazah anak saya dah jumpa dan akan dikebumikan di Tanah Suci. Kami bercadang untuk lakukan solat jenazah ghaib kepada Shahidan dalam masa terdekat serta mengadakan majlis tahlil di Masjid Kodiang Lama malam ini," katanya.

Che Mun bekata beliau turut menyimpan dua helai baju milik Allahyarham ketika Shahidan berusia sekitar 20-an sebagai kenangan.

Sementara itu isteri Abdul Habib, Robiah Abdullah, 65, yang ditemui di rumahnya di Kampung Batu Besar, Sik berkata beliau menerima berita mengenai jenazah suaminya ditemui daripada anak lelakinya Mohd Fazil, 41, yang menelefonnya pagi tadi.

"Saya reda dengan pemergian beliau dan saya terima ketentuan daripada Allah," katanya.

Menantunya Ismawati Hamid pula berkata ketika kejadian mereka telah menghubungi bapa mentuanya itu menerusi telefon bimbitnya tetapi tidak menerima sebarang jawapan.

"Mayat ayah ditemui dalam keadaan sempurna dan hanya ada sedikit kesan calar pada badan dan kepala. Kami reda dengan pemergiannya," katanya.

Ismawati berkata keluarganya berterima kasih kepada Tabung Haji yang mengendalikan semua proses pengurusan jenazah bapa mentuanya termasuk pengebumian.

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan