Yang Di-Pertuan Agong Ziarah Jenazah Raja Puan Muda Kedah

Diterbitkan: Isnin, 21 September 2015 8:33 PM

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (tiga,kiri) bersama Permaisuri Tuanku Hajah Haminah (empat,kiri) dan kaum kerabat berkenan mengaminkan doa semasa memberi penghormatan terakhir kepada Almarhumah Raja Puan Muda Kedah Tengku Raudzah Sultan Hisamuddin Alam Shah di Istana Anak Bukit, Isnin. Almarhumah yang merupakan isteri kepada Raja Muda Kedah Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah mangkat di Hospital Sultanah Bahiyah pada 10.15 pagi Isnin.
Kedah akan berkabung selama tujuh hari, dengan bendera negeri, Persekutuan dan lain-lain dikibar separuh tiang selama tiga hari.
-fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berangkat ke Istana Anak Bukit di sini untuk memberi penghormatan terakhir kepada Raja Puan Muda Kedah yang mangkat Isnin.

Raja Puan Muda Kedah Tunku Hajah Raudzah binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah, 86, mangkat pada 10.15 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah akibat gering.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berangkat tiba di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit kira-kira 4.30 petang dan berada kira-kira 15 minit memberi penghormatan terakhir kepada almarhumah Tunku Hajah Raudzah.

Jenazah almarhumah disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit selama satu jam bermula 4 petang bagi membolehkan istiadat penghormatan terakhir dilakukan.

Raja Muda Kedah Tunku Abdul Malik ibni Almarhum Sultan Badlishah turut berangkat memberi penghormatan terakhir kepada almarhumah isteri baginda.

Yang turut berangkat memberi penghormatan terakhir termasuk Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah dan anggota jemaah, Tunku Panglima Besar Kedah Tunku Puteri Intan Shafinaz Sultan Abdul Halim.

Kerabat diraja lain termasuk Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Antara orang kenamaan yang hadir ialah Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, barisan exco kerajaan negeri serta pegawai-pegawai kanan negeri.

Sebelum itu, Mufti Negeri Kedah Datuk Paduka Syeikh Muhammad Baderudin Ahmad mengimamkan solat jenazah di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit.

Tepat 5 petang, pedati khas membawa jenazah almarhumah meninggalkan Istana Anak Bukit menuju ke Makam Diraja Langgar dan istiadat pemakaman selamat disempurnakan kira-kira 7.15 malam.

Almarhumah Tunku Raudzah adalah Puteri sulung kepada Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah dan berkahwin dengan Tunku Abdul Malik pada 16 Julai 1956 di Istana Bukit Kota, di sini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan