Tabung Haji Teruskan Pencarian Jemaah Hilang

Diterbitkan: Ahad, 20 September 2015 7:40 PM

(Ubah saiz teks)

MAKKAH: Tabung Haji (TH) tidak melaksanakan badal haji untuk dua jemaah Malaysia yang hilang dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram pada 11 September lepas kerana proses mencari mereka masih dijalankan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, usaha mencari dua jemaah lelaki itu dilakukan meliputi pelbagai sudut termasuk mencari mereka di sekitar Makkah selain memadankan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) waris masing-masing dengan mayat-mayat yang ditempatkan di rumah mayat Muaissem di Mina.

"Status mereka belum disahkan. Apa pun kita mengharapkan yang terbaik... segala kemungkinan boleh berlaku," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan bersama jemaah Malaysia di bangunan penginapan Land Premium di sini, Ahad.

Jemaah yang hilang ialah Shahidan Saad, 52, dari Kodiang, Kedah dan  Abdul Habib Lahman, 68, berasal dari Sik,  Kedah. 

Waris Shahidan iaitu abangnya Sobri dan adiknya Zulhakim serta Mohamad Fazil iaitu anak lelaki Abdul Habib tiba di sini pada Jumaat untuk melakukan ujian DNA itu dan keputusannya akan diketahui dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.

Pengarah Operasi (Bimbingan) Tabung Haji, Tengku Abdul Aziz Raja Abdullah pula berkata, badal haji yang dilaksanakan TH adalah mengikut syarat-syarat tertentu.

"Untuk musim haji 1436H ini, TH akan melaksanakan lapan badal haji untuk jemaah Malaysia yang meninggal dunia termasuk lima yang disahkan terkorban dalam tragedi kren tumbang itu.

"Setakat ini, sembilan jemaah telah meninggal dunia di sini tetapi TH hanya lakukan lapan badal haji kerana seorang daripada mereka telah pun menunaikan ibadat haji sebelum ini," jelasnya.

Beliau berkata, badal haji itu dilakukan untuk jemaah yang meninggal dunia sebelum 12 malam pada 6 Zulhijjah (20 September) dan ia adalah untuk jemaah yang belum mengerjakan haji sebelum ini selain perlu mendapat persetujuan waris atau anggotanya keluarganya sebelum melaksanakannya.

Perkhidmatan badal haji TH adalah untuk pihak mereka yang sakit berpanjangan tanpa peluang sembuh atau telah meninggal dunia sebelum menunaikan haji.

Tags / Kata Kunci: Tabung Haji

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan