Sokongan Memuncak Kepada Adenan, PRN Sarawak Semakin Hampir

Diterbitkan: Ahad, 20 September 2015 12:01 PM

Adenan Satem.

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem kini berada di puncak.

Pujian melambung diberikan pelbagai pihak yang memperakui hebatnya kepimpinan beliau baik daripada kalangan penyokong kerajaan mahupun pembangkang.

Dari segi strategi, memang inilah masa paling sesuai untuk mengadakan pilihan raya negeri Sarawak ke-11.

Adenan sendiri baru-baru ini dilaporkan mengakui ia akan diadakan pada bila-bila masa selepas bajet negeri 2016 dibentangkan November ini.

Beliau dilaporkan menjangka proses persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri membabitkan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri yang baharu akan diluluskan Parlimen yang dijadual bersidang Oktober ini.

Ini bermakna Oktober boleh dikeluarkan daripada ramalan kemungkinan pilihan raya diadakan, manakala tarikh tepat pembentangan bajet negeri dalam bulan November masih belum ditetapkan.

Dan Ketua Menteri pasti ingin mengambil masa sendiri untuk melihat apa yang disediakan kerajaan persekutuan kepada Sarawak menerusi bajet 2016 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Oktober.

Kebanyakan ahli politik dan penganalisis tidak fikir pilihan raya akan diadakan tahun ini, termasuk pemimpin pembangkang.

Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian merasakan November terlalu singkat bagi Ketua Menteri untuk membuat persiapan menghadapi pilihan raya kerana beliau masih sibuk dengan bajet Sarawak yang akan 'dirumuskan' hanya selepas beliau 'mengkaji' bajet negara.

Menurutnya banyak tuntutan yang dibuat kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan sedang dinantikan respons, dan tuntutan ini akan membolehkan Adenan memperoleh sokongan hebat, seluruh rakyat juga menunggu hasil bakal diperoleh negeri daripada pembentangan bajet persekutuan.

Dari segi wang mungkin ia bukan keutamaan, namun dari segi moral, mungkin rakyat Sarawak ingin melihat hasil tuntutan Adenan terhadap isu-isu seperti royalti minyak supaya dinaikkan daripada lima peratus kepada 20 peratus, di samping tuntutan pemerkasaan lebih besar dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, infrastruktur dan pelancongan, katanya.

Baru Bian berkata sokongan padu rakyat kepada Adenan lebih bersifat peribadi sambil berkata perpecahan dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak masih tidak nampak jalan penyelesaian, dan ia pastinya memerlukan masa.

Beliau merujuk kepada perpecahan dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), yang menyaksikan kewujudan Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) yang "mesra Barisan Nasional".

Dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memiliki 35 kerusi, SUPP enam, Parti Rakyat Sarawak (PRS) lapan, SPDP enam, DAP 12, PKR tiga, dan Bebas satu.

Isu sokongan kaum Cina cukup kritikal di Sarawak memandangkan pilihan raya lalu menyaksikan SUPP sebagai 'the biggest loser' apabila ia hanya berjaya mempertahankan separuh daripadanya 12 kerusinya manakala DAP nenambah kerusinya dari enam ke-12.

Seorang ahli politik penyokong kerajaan yang tidak mahu dinamakan pula berkata beliau tidak menolak kesungguhan Adenan memikat hati kaum Cina, dan beliau memberi contoh pemberian bantuan kepada sekolah persendirian Cina yang diumumkan Adenan sebanyak RM3 juta tahun lepas, RM4 juta tahun ini, dan janji RM5 juta bagi tahun depan.

Bagaimanapun menurutnya perpecahan dalam komponen parti yang biasanya berkisar kepada perebutan kerusi tidak dapat diselesaikan dengan memberikan bantuan kepada pengundi kawasan sahaja kerana ada 'perjanjian' yang perlu dipersetujui di peringkat parti.

Anggota Dewan Undangan Negeri Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi berkata beliau pada awalnya menjangka pilihan raya akan diadakan pada Oktober semasa sokongan kepada Ketua Menteri sedang melonjak.

Selepas cadangan persempadanan kawasan pilihan raya dibawa ke peringkat Mahkamah Rayuan, ia tertangguh, dan kini ramalannya dianjakkan kepada Januari atau Februari tahun depan.

Banyak sudah yang dilakukan Adenan selepas menerajui kepimpinan negeri selama kira-kira 20 bulan yang menjulang namanya.

Antaranya ialah penurunan kadar elektrik, penghapusan tol di beberapa tempat, penyeragaman tambang feri kepada hanya RM1, komitmen serta ketegasan dalam memerangi kegiatan pembalakan haram, membanteras pendatang asing tanpa izin, menangani kes curi ikan nelayan tempatan, bertegas dalam tuntutan kenaikan royalti minyak daripada kerajaan persekutuan, dan menuntut lebih pemerkasaan dalam beberapa bidang buat jabatan-jabatan negeri.

Penganalisis politik Dr Jeniri Amir pula begitu pasti bila pilihan raya akan diadakan Mac atau April tahun depan.

"Tan Sri (Adenan) tidak perlu tergesa-gesa ...kedudukannya ketika ini cukup stabil, sokongan terhadapnya sungguh hebat, masih ada banyak masa, masih banyak yang boleh dilakukannya," kata pensyarah kanan pengajian komunikasi di Universiti Malaysia Sarawak itu.

Selain itu, katanya Ketua Menteri pasti mahukan supaya isu berkaitan persempadanan semula yang diusahakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mewujudkan 11 kerusi dewan undangan negeri yang baharu, dimuktamadkan terlebih dahulu.

Awal bulan ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata laporan akhir persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya negeri Sarawak akan dibentangkan di Dewan Rakyat Oktober ini.

Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur, beliau berkata: "Kami dibayangkan Ketua Menteri akan memanggil pilihan raya negeri seawal-awal yang boleh.

"Ini menyemarakkan api spekulasi terutama di Bumi Kenyalang ini mengenai kemungkinan pilihan raya tidak lama lagi.

Jeniri bagaimanapun menolak terus kemungkinan pilihan raya diadakan pada Disember kerana menurut pengamatannya pilihan raya negeri belum pernah diadakan pada hujung tahun.

Sementara itu merujuk kepada persempadanan semula kawasan pilihan raya, ada juga sumber yang enggan mendedahkan identitinya menimbulkan kemungkinan 11 kerusi baharu itu diperlukan oleh Adenan untuk menyelesaikan perebutan kerusi antara parti komponen, yang bermakna ada tawaran untuk parti 'mesra BN'.

Bagaimanapun umum mengetahui bahawa parti 'mesra BN' perlu mendapat konsensus semua parti komponen semasa untuk diterima menjadi satu lagi parti komponen keluarga besar BN.

Lt Kol (B) Saiful Anwar Md Ali pula menyanjung tinggi kepimpinan Adenan yang menurutnya memang dikenali sebagai pemimpin yang cukup tegas, walaupun gayanya memang nampak bersahaja, mudah mesra dan suka berseloroh.

"Memang beliau boleh lakukan kejutan ... memang beliau boleh adakan pilihan raya tahun ini, namun pada pandangan jujur saya, berdasarkan petunjuk semasa, mungkin tahun depan. Saya jangka selepas Februari," kata pensyarah kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Sarawak itu.

Beliau berpendapat banyak peristiwa di hujung tahun yang menolak kemungkinan pilihan raya negeri diadakan, antaranya bencana banjir yang sering terarah berlaku pada hujung tahun.

Selain itu menurutnya Disember menyaksikan sambutan Hari Krismas yang diraikan penuh gemilang di Sarawak, begitu juga dengan sambutan Tahun Baharu  Cina yang biasanya disambut pada Januari atau Februari.

Sementara itu bekas Pengurus Besar Bernama Datuk Seri Azman Ujang turut merasakan pilihan raya Sarawak akan diadakan tahun depan kerana menurutnya dalam tempoh yang tinggal sekitar tiga bulan sahaja untuk tahun ini, beliau tidak melihat kesiapsiagaan pihak-pihak yang berkaitan.

"Bukan mudah untuk mengadakan pilihan raya negeri dalam keadaan tergesa-gesa," katanya.

"... juga dengan 11 kawasan pilihan raya yang baharu, beban kian bertambah untuk mengadakan pilihan raya," kata Azman yang juga merupakan kolumnis surat khabar. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Adenan Satem , pilihan raya negeri , Sarawak

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan