Wanita Gelang Tarik Perhatian Ramai

Diterbitkan: Ahad, 20 September 2015 12:01 PM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Peluh Anak Abeh, 64, yang berpakaian tradisional masyarakat Bidayuh dan sedang duduk bersebelahan suaminya Bohong Anak Titing, 67, di sebuah gerai pada Festival Kraftangan Sarawak di Kuching Waterfront di sini menarik perhatian ramai.

Orang ramai bukan sahaja tertarik dengan pakaian dan ketekunan mereka menghasilkan gegelang tembaga 'ruyang' dan rusung' tetapi juga kepada lingkaran gegelang tersebut yang dipakai oleh Peluh pada lengan dan betisnya.

Selain itu Peluh yang juga merupakan penari tradisional Bidayuh turut memakai rantai leher manik yang dipanggil 'tumbih.

Pasangan tersebut yang merupakan suku Semban iaitu sebahgian daripada kaum  Bidayuh dijemput oleh Perbadanan Pembangunan Kraftangan Malaysia untuk mempamer kemahiran mereka pada festival itu yang bermula Jumaat lepas hingga Ahad depan.

Peluh dan Bohong yang berasal dari Kampung Semban, tanah tinggi Padawan kini menetap di Skim Penempatan Semula Bengoh dekat Kampung Semadang di Penrissen dua tahun lalu, selepas perkampungan mereka dijadikan sebagai sebahagian daripada kawasan Projek Empangan Bengoh.

Pemakaian ruyang dan rusung yang turut dipakai pada leher kini dikhuatri semakin pupus kerana hanya segelintir sahaja yang memakainya.

"Hanya tujuh orang wanita Semban yang kini memakai gelang di Kampung Semban, bertambah tiga orang berbanding tahun lalu," kata Peluh.

Beliau berkata pada masa lalu wanita Semban mula memakai ruyang dan rusung sejak umur 10 tahun dan perlu menukarnya kepada gelang lebih besar ketika usia mereka semakin meningkat.

"Dahulu kalau nak memakainya bukan murah. Gelang dibawa oleh penjual ke kampung setelah meredah hutan, sungai, sawah, air terjun, titi gantung berjam-jam lamanya," katanya.

Mengenai kesukaran memakai gelang, "Mula-mula rasa sakit, tapi bila dah biasa, tak lagi rasa sakit. Saya pakai walaupun saya bekerja di ladang di tengah panas," ujar Peluh sambil menggosok-gosok gelang yang disusunnya dengan buah limau agar lebih bersinar.

Beliau berkata pada asalnya memakai ruyang dan rusung adalah untuk kelihatan cantik dan hanya si pemakai yang dibenar untuk menyertai majlis keraian dan menari tarian 'rejang' atau tarian burung helang.

Bohong pula berkata pemakai gelang di kawasan penempatannya kini digemari  untuk diajak bergambar bersama pengunjung.

"Pengujung datang untuk ambil gambar kami dan mengambil gambar bersama kami," katanya.

Tags / Kata Kunci: Gelang , Kuching

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan