Wanita Digigit Anjing Peliharaan Positif Rabies Di Kota Setar

Diterbitkan: Sabtu, 19 September 2015 5:21 PM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan Kedah hari ini mengesahkan seorang wanita berusia 53 tahun digigit anjing peliharaannya yang positif penyakit anjing gila (Rabies).

Pengarah jabatan itu Datuk Dr Norhizan Ismail berkata selepas kejadian itu berlaku pada 8.30 malam, 11 September lepas, wanita berkenaan mendapatkan rawatan di klinik swasta.

Keesokannya, beliau ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri untuk memaklumkan kejadian itu.

"Anggota Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar telah mengambil tindakan segera dengan memastikan wanita itu mendapatkan rawatan di Bahagian Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah dan diberikan suntikan vaksinasi," katanya dalam kenyataan di sini.

Wanita itu, yang berasal dari Kota Setar, dirawat sebagai pesakit luar namun perlu mendapatkan empat dos vaksin mencegah Rabies pada tarikh-tarikh ditetapkan dalam tempoh dua minggu. 

Dr Norhizan berkata wanita itu juga dinasihati supaya sentiasa mengawasi tahap kesihatannya dan segera mendapatkan rawatan jika mengalami tanda dan gejala seperti demam atau sakit kepala.

Beliau berkata sehingga hari ini, tiada kes Rabies dalam kalangan manusia dilaporkan ke jabatan itu.

Sebelum ini, pihaknya menerima laporan mengenai sembilan kejadian gigitan anjing.

Pada Khamis, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengisytiharkan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang sebagai kawasan jangkitan penyakit anjing gila berikutan beberapa kes yang dikesan di negeri berkenaan.-- Bernama






Tags / Kata Kunci: Rabies , Dr Norhizan Ismail , Kota Setar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan