Tiada Manusia Positif Penyakit Anjing Gila

Diterbitkan: Sabtu, 19 September 2015 1:56 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Tiada pesakit di kalangan manusia yang positif dijangkiti penyakit Anjing Gila atau Rabies setakat ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut Kementerian Kesihatan, setakat ini, tiga negeri masing-masing Kedah, Perlis dan Pulau Pinang masih diwartakan sebagai kawasan jangkitan penyakit itu.

"Sehingga Khamis, terdapat 39 kejadian gigitan anjing pada manusia (25 di Perlis, sembilan (9) di Kedah dan lima (5) di Pulau Pinang) yang melibatkan 39 ekor anjing di mana 10 telah disahkan positif Rabies.

"Kesemua mereka yang digigit telah mendapatkan rawatan berserta dengan vaksin anti-Rabies di hospital, berkeadaan stabil dan tiada gejala penyakit Rabies," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Dr Noor Hisham berkata, semua pesaki akan terus dipantau dalam satu tempoh tertentu bergantung kepada status kesihatan mereka.

Jelasnya lagi, pihak Kementerian Kesihatan, termasuk Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, JKN Perlis dan JKN Pulau Pinang telah melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan ke atas kejadian ini.

"Antara yang dilaksanakan adalah pengurusan kes indeks (pesakit) terkena gigitan; pengeluaran health alert kepada pengamal perubatan; pengukuhan aktiviti survelan pemantauan kes gigitan; pengukuhan pengurusan kes gigitan anjing; penyediaan stockpile vaksin rabies dan immunoglobulin dan pengukuhan aktiviti promosi kesihatan," katanya.

Penyakit Rabies adalah sejenis penyakit zoonosis yang disebabkan Lyssavirus yang boleh menjangkiti manusia melalui luka gigitan oleh anjing yang dijangkiti Rabies dan juga melalui luka di kulit manusia yang terdedah kepada air liur, cairan atau tisu tubuh dari haiwan yang dijangkiti Rabies.

Tempoh inkubasi Rabies pada manusia adalah dalam tempoh 2 12 minggu tetapi terdapat laporan menyatakan boleh sehingga enam (6) tahun. Individu atau manusia yang dijangkiti Rabies akan mengalami tanda klinikal seperti demam, sakit badan dan kepala, hidrofobia (takut pada air), lumpuh dan koma.

Penyakit Rabies boleh menyebabkan kematian 100 peratus pada manusia sekiranya tidak dirawat dengan segera.

Sehingga 2014, Malaysia adalah bebas daripada Rabies di mana kejadian terakhir penyakit Rabies menjangkiti manusia adalah pada 1998 dan kes di kalangan haiwan adalah pada 1999.

Tags / Kata Kunci: Anjing Gila , Dr Noor Hisham Abdullah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan