Petisyen Bebaskan Dua Tawanan Abu Sayyaf

Diterbitkan: Sabtu, 19 September 2015 11:31 AM

Isteri Ted Fen, Wai See (left), dan anak lelaki Nyuk Fun, Chung Chin Lung bersama gambar kedua-dua tawanan begitu mengharapkan kepulangan orang tersayang dalam masa terdekat.

(Ubah saiz teks)

MENJELANG sambutan Hari Malaysia, sekumpulan rakyat negara ini berganding bahu menganjurkan kempen menerusi media sosial untuk membawa pulang dua rakyat Malaysia yang masih ditawan di Pulau Jolo, selatan Filipina.

Petisyen secara dalam talian diwujudkan untuk membantu mangsa culik dipercayai oleh kumpulan pengganas Abu Sayyaf di Jolo sejak 140 hari lalu.

Kesihatan Thien Nyuk Fun, 50 yang berasal dari Sabah dan Bernard Then Ted Fen, 39 dari Sarawak dikatakan semakin merosot dan susulan itu kumpulan,"Kembalikan Tawanan Malaysia" ini berharap kempen itu dapat menarik perhatian ramai bagi membantu membebaskan mereka.

Nyuk Fun, seorang pengurus restoran menghidap hipetensi serta penyakit lain, manakala Ted Fen pula pesakit diabetis.

Laporan risikan daripada Jolo mendapati Nyuk Fun sukar melalui kehidupan hariannya berikutan keadaan kesihatannya yang semakin merosot dan Ted Fen memerlukan ubat untuk penyakitnya.

Pada 14 Mei lalu, Ted Fen yang sedang bercuti di Sabah bersama isteri, Chan Wai See dan berkunjung ke Restoran Makanan Laut Ocean King, beberapa kilometer (km) dari pekan Sandakan.

Ketika sedang menikmati makan malam, pengganas bersenjata Abu Sayyaf menyerbu premis itu pada pukul 7.40 malam. Empat lelaki bersenjata - seorang bersenjatakan senapang automatik dengan rantaian peluru berselipang di dada menyerbu restoran itu menyebabkan pekerja dan pelanggannya lari menyelamatkan diri.

Dalam insiden kurang seminit itu, kumpulan bersenjata itu menculik Ted Fen dan Nyuk Fun. Kedua-duanya dibawa 333 km arah timur Sandakan ke Jolo sebelum Abu Sayyaf menuntut wang tebusan.

Ahli keluarga Ted Fen menggambarkan tragedi itu menyebabkan keluarga mangsa dalam keadaan murung kerana bimbangkan kesihatan kedua-duanya.

"Mereka sedang melalui suasana muram dalam hidup. Situasi yang berbeza sama sekali kerana tidak dapat bertemu dengan orang yang disayangi untuk tempoh yang lama. Tetapi mereka sama sekali tidak putus harapan.

"Saat paling memilukan apabila melihat ibu bapa mangsa menangis kerana memikirkan keadaan anak mereka.

"Bayangkan, mereka terpaksa meneruskan kehidupan dan pada masa sama memikirkan keadaan mangsa yang masih dalam tahanan.

"Mereka merasakan diri tidak berdaya kerana tidak dapat membantu membawa Bernard pulang dengan selamat. Mereka membayangkan untuk ke Jolo dan menyelamatkannya," katanya.

Bagi keluarga Ted Fen bagaimanapun mereka bersyukur kerana ramai rakan dan keluarga yang tampil menghulurkan bantuan.

Keadaan tambah gawat apabila pada 22 Ogos, Wai See menerima panggilan daripada penculik di Jolo memaklumkan akan memenggal kepala suaminya jika wang tebusan tidak diserahkan.

Hanya pada hari ke-124 Ted Fen dan Nyuk Fun diculik, kumpulan netizen itu bergabung membangunkan Facebook dan petisyen dalam talian  untuk meuar-uarkan rayuan keluarga kedua-dua tawanan itu.

Mereka berharap memperoleh 100,000 tandatangan dan menyerahkannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan harapan mendapat perhatian pemimpin negara itu untuk mempercepatkan proses membebaskan dua tawanan itu.

Selepas kira-kira 43 jam kempen itu bermula, sebanyak 3,876 tandatangan diperoleh dengan anggaran satu tandatangan pada setiap 40 saat.

Sesuatu yang menyentuh hati dan perasaan apabila membaca 1,447 komen menerusi ipetitions.com.

Joyce Majanil: "Mendoakan mereka pulang dengan selamat."

Ismail Saruji: "Jangan biarkan mereka."

Wai Loon: "Ingatan saya kepada ahli keluarga mangsa. Bertabahlah kerana rakyat Malaysia tidak pernah lupakan kedua-dua mangsa. Moga kasih sayang dapat membawa mereka kembali kepada anda secepat mungkin."

Lau Sie Huong: "PM, hadiah istimewa sempena Hari Malaysia, mohon lakukan yang terbaik untuk membawa pulang kedua-dua tawanan. Saya tahu, anda serta semua rakyat Malaysia prihatin."

Roslan Azman: “Saya sangat berharap agar pihak kerajaan Malaysia dapat mengusahakan sesuatu supaya dapat membawa pulang tawanan dengan selamat."

David Bong: "Kepada Perdana Menteri Malaysia. Hulurkan bantuan dengan berunding untuk membebaskan tawanan supaya mereka dapat pulang ke pangkuan keluarga dan negara."

Shane Ferdinand: "Kepada PM, mohon bantuan untuk membebaskan tawanan rakyat Malaysia. Didahului dengan ucapan terima kasih."

Wong Wee Ping: "Bebaskan Tawanan Malaysia. Ia harapan setiap rakyat Malaysia."

Kumpulan ini berhadap setiap rakyat Malaysia dapat memberi sokongan dengan menandatangani petisyen untuk membawa pulang kedua-dua tawanan Malaysia itu.





Tags / Kata Kunci: petisyen , Abu Sayyaf , Sandakan , Then Ted Fen

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan