Rabies: Kerajaan P.Pinang Teruskan Usaha Lupus Anjing Liar

Diterbitkan: Sabtu, 19 September 2015 5:14 PM

(Ubah saiz teks)

SEBERANG PERAI: Kerajaan Pulau Pinang akan meneruskan langkah-langkah memberikan vaksin dan juga mengawal populasi anjing liar di sekitar negeri ini dalam usaha untuk menangani penularan Jangkitan Penyakit Anjing Gila atau Rabies.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin berkata hasil pemantauan mendapati Pulau Pinang masih mempunyai lebih kurang 25,000 anjing terbiar atau anjing liar.

Menurutnya, kerajaan negeri kini sedang dalam usaha memberikan anjing-anjing tersebut vaksin selain mengurangkan populasi dengan melupuskannya bagi mengawal penyebaran wabak tersebut.

"Operasi memberi vaksin dan juga menangkap dan melupus anjing liar sedang giat dijalankan untuk mengelakkan kejadian gigitan yang boleh membawa kepada jangkitan Rabies," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Katanya, dalam tempoh tiga hari lepas, operasi Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah melupuskan sebanyak 182 ekor anjing liar, namun pihaknya masih menerima laporan kejadian gigitan anjing liar.

Beliau berkata, sejak Rabu lepas, sebanyak 14 kes gigitan anjing liar telah dilapor namun tiada kes tambahan membabitkan serangan ke atas manusia.

"Saya telah menerima laporan lapan kes gigitan anjing semalam iaitu dua kes di daerah Seberang Perai Utara, dua kes di Seberang Perai Selatan, tiga kes di  Timur Laut dan satu kes di Barat Daya.

"Namun kami gagal menangkap anjing-anjing liar berkenaan dan tidak dapat menguji sampel untuk mengenalpasti sama ada binatang tersebut dijangkiti penyakit Rabies atau tidak," katanya.

Beliau berkata pemilik anjing boleh mendapatkan suntikan vaksin untuk binatang peliharaan mereka dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada harga RM45 termasuk lesen pendaftaran anjing dan setakat ini sebanyak 167 ekor anjing telah menerima suntikan vaksin.

Sementara itu, Dr Afif berkata, kesihatan orang awam adalah keutamaan kerajaan negeri kerana dua kes yang membabitkan manusia telah dilaporkan di Pulau Pinang baru-baru ini.

Beliau juga berharap Kementerian Pertanian menghantar kakitangan serta mengeluarkan peruntukan tambahan kepada jabatan-jabatan negeri Perlis,  Kedah dan Pulau Pinang untuk membantu usaha mengekang penularan wabak tersebut.

"Setakat ini, seramai 140 pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Seberang Perai dan agensi-agensi telah bekerjasama dalam operasi pembasmian wabak Rabies ini," katanya.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: Rabies , Afif Bahardin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan