Jerebu Di Riau: Kementerian Luar Buka Bilik Operasi Bantu Pelajar - Berita Semasa | mStar

Jerebu Di Riau: Kementerian Luar Buka Bilik Operasi Bantu Pelajar

Diterbitkan: Jumaat, 18 September 2015 11:19 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kementerian Luar membuka bilik operasi bagi memantau keadaan semasa di Riau serta memberi bantuan kepada pelajar dan warganegara Malaysia yang terjejas teruk akibat jerebu di wilayah itu khususnya Pekanbaru, Indonesia.

Dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat, kementerian itu berkata pembukaan bilik operasi itu adalah berikutan situasi jerebu luar biasa yang melanda Riau apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatat peningkatan melebihi bacaan 900 dengan tahap penglihatan tidak sampai 100 meter.

Orang ramai boleh menghubungi bilik operasi Kementerian Luar melalui talian terus 03-8887 4570 atau e-mel dutyofficer@kln.gov.my, kata kementerian itu.

Menurut Kementerian Luar, bilik operasi Konsulat Malaysia di Pekanbaru juga telah dibuka dan boleh dihubungi di talian terus +62 761 856166/67 atau melalui e-mel, mwpekanbaru@kln.gov.my.

Pada 15 Sept lalu, Indonesia mengisytiharkan Riau sebagai kawasan darurat setelah keadaan jerebu di wilayah tersebut dilaporkan berada pada tahap sangat berbahaya.

Tags / Kata Kunci: Riau , Jerebu
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan