Berhati-Hati Dengan Anjing Tak Bertuan - Shabery

Diterbitkan: Jumaat, 18 September 2015 2:58 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

SERDANG: Orang ramai terutama di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang yang diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan penyakit anjing gila atau rabies dinasihatkan berhati-hati apabila melihat anjing tidak bertuan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata orang ramai juga perlu mendapatkan rawatan segera di hospital sekiranya digigit anjing memandangkan tempoh inkubasi rabies adalah sehingga enam bulan.

"Pergerakan anjing (di kawasan jangkitan rabies) kini dikawal lebih 200 pegawai veterinar. Mereka mendapat kerjasama dari pelbagai jabatan dan agensi yang berkaitan seperti Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan dalam mengawal jangkitan tersebut.

"Pemilik anjing pula perlu memastikan anjing masing-masing mendapatkan vaksin dengan segera," katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Fertigasi Agropreneur Muda di Taman Kekal Pengeluaran Makanan di Kompleks Jabatan Pertanian Serdang dekat sini, Jumaat.

Ahmad Shabery berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang yang diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan penyakit anjing gila berikutan beberapa kes dikesan di tiga negeri tersebut.

Penyakit anjing gila telah diisytiharkan di Perlis pada 19 Ogos lepas manakala Kedah dan Pulau Pinang, masing-masing semalam.

Menurut kenyataan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini, penyakit anjing gila merupakan penyakit zoonotic (penyakit yang boleh menjangkiti manusia daripada anjing).

Virus itu boleh menjangkiti anjing melalui luka gigitan, luka terbuka pada kulit, air liur, cairan atau tisu tubuh yang terjangkit.

Penyakit ini menyerang sistem saraf anjing dan boleh menjangkiti manusia melalui gigitan anjing yang terjangkit.

Tags / Kata Kunci: Anjing Gila , Rabies

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan