6.7 Juta Tiada Lesen Memandu

Diterbitkan: Selasa, 15 September 2015 8:19 AM

Liow (tengah) berbual dengan seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Jalil, Hulu Langat yang mengisi borang permohonan untuk mengambil lesen B2 selepas merasmikan Program myLesen 1Rakyat 1Lesen di Institut Memandu Surfine Hitech Sdn Bhd pada Isnin. foto SAMUEL ONG/THE STAR

(Ubah saiz teks)

HULU LANGAT: Kira-kira 6.7 juta rakyat Malaysia tidak mempunyai lesen memandu.

Untuk mengatasi isu ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan program myLESEN bagi memastikan seramai 300,000 peserta di seluruh negara memperolehi lesen mereka dalam tempoh sebulan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata program selama sebulan yang bermula pada Selasa mensasarkan mereka yang berusia antara 16 tahun dan ke atas.

"Kami merayu kepada mereka untuk mendapatkan lesen secepat yang mungkin kerana 32 peratus penunggang motosikal tidak mempunyai lesen.

"Kami tidak boleh membenarkan perkara ini berterusan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program myLESEN di Surfine Hitech Sdn Bhd di sini, Isnin.

Selain memberi peluang kepada mereka untuk memperolehi lesen, Liow berkata penunggang motosikal juga akan menjalani latihan keselamatan jalan raya.

Sebagai insentif, Liow berkata, program khusus untuk rakyat mendapatkan lesen motosikal ditawarkan pada harga RM299 berbanding harga RM350 yang ditetapkan institut memandu.

"Bergantung kepada sambutan, kami mungkin mempertimbangkan untuk mengadakan program yang sama pada masa akan datang bagi membolehkan penunggang motosikal mendapatkan lesen mereka," katanya.

Beliau berkata kementerian berharap sekurang-kurangnya separuh atau 3.35 juta penunggang motosikal tidak berlesen akan menyertai program tersebut.

Katanya, program tersebut amat penting kerana kementerian menyasarkan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2020.

Berdasarkan Pelan Keselamatan Jalan Raya 2014-2020, Liow berkata dianggarkan kira-kira 43 peratus penunggang motosikal luar bandar di bawah usia 25 tahun tidak mempunyai lesen.

"Statistik polis antara 2010 dan 2012 mencatatkan 32 peratus kematian dan 26.8 peratus mengalami kecederaan melibatkan penunggang motosikal tidak berlesen," katanya.

Di bawah program tersebut, penunggang motosikal boleh memperolehi lesen B2 mereka untuk motosikal di bawah 250 cc.

Sebanyak 190 institut memandu di seluruh negara mengambil bahagian dalam program tersebut.

Tags / Kata Kunci: Liow Tiong Lai , lesen

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan