Jawatan Ketua Pemuda Umno Rasah Gugur Jika Sah Muflis

Diterbitkan: Selasa, 15 September 2015 10:00 AM

Hassan Yop

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno Bahagian Rasah, Hassan Yop besar kemungkinannya akan digugurkan daripada jawatan disandangnya itu sekiranya disahkan muflis.

Menurut sumber, perkara tersebut adalah satu daripada dua pandangan pihak pengurusan dalaman ibu pejabat Umno  berhubung status Hassan berdasarkan Perlembagaan parti.

"Perbincangan yang diadakan berhubung isu sama membuat kesimpulan bahawa mesyuarat perwakilan Umno bahagian Rasah adalah sah, manakala Hassan akan digugurkan jawatannya sebagai Ketua Pemuda Umno bahagian itu jika memang benar beliau muflis.

"Bagaimanapun surat berhubung pengguguran jawatan Hassan masih belum dikeluarkan. Itu sekadar pandangan di Umno Pusat," kata sumber parti kepada mStar Online.

Pada Sabtu lalu, mStar Online melaporkan wakil Pemuda Umno Bahagian Rasah hadir ke ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Putrajaya Jumaat lalu bagi memohon penjelasan berhubung status ketua sayap bahagian itu yang didakwa muflis.

Surat berkenaan turut dihantar kepada Umno bahagian, negeri dan pusat antara lain menuntut penjelasan mengenai status mesyuarat perwakilan Pemuda dan bahagian Umno Rasah yang dihadirinya, masing-masing pada 3 dan 8 Ogos lalu.

Sementara itu, Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusoh berkata, beliau telah menerima surat berhubung tuntutan penjelasan berkenaan daripada wakil Pemuda Umno Rasah.

"Saya ada terima surat itu minggu lepas. Tetapi kita perlu buat semakan terlebih dahulu. Bahagian perundangan parti sedang buat semakan dengan Jabatan Insolvensi," katanya.

Ditanya bila pengesahan akan dibuat, Ab Rauf berkata: "Tak pasti, tak tahu. Kena tunggu, belum ada maklum balas."

Selain itu, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Hasim Rusdi bagaimanapun menolak sebarang spekulasi mengenai pengguguran Hassan daripada jawatannya dalam parti.

Hasim yang juga Ketua Umno Bahagian Rasah berkata, pengguguran Hassan bergantung kepada keputusan Umno Pusat berdasarkan pengesahan status kebankrapannya.

"Tetapi kalaulah Hassan digugurkan sekalipun, ia tidak akan menjejaskan Umno Rasah kerana jawatan Hassan masih boleh dipangku oleh naib ketua.

"Bagaimanapun kita tunggu pengesahan rasmi dan keputusan daripada Umno Pusat terlebih dahulu. Kita tak pasti dia muflis atau tidak dan mungkin dia ada menyelesaikan masalah berkaitan di mahkamah," katanya.


Tags / Kata Kunci: Hassan Yop , Pemuda Rasah , muflis

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan