"Kami Orang Baik-Baik" - Penganjur 'Baju Merah'

Diterbitkan: Selasa, 15 September 2015 5:49 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perhimpunan 'baju merah' tidak akan mencetuskan rusuhan dan ketegangan kaum, demikian janji penganjur demonstrasi jalanan, Datuk Jamal Md Yunos.

Bagaimanapun tegas Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia itu, perhimpunan 'baju merah' tersebut dianjurkan sebagai solidariti terhadap maruah Melayu.

"Ini perhimpunan aman yang tidak akan cetuskan ketegangan dan rusuhan perkauman. Ia hanya solidariti Melayu yang selama ini dihina oleh rakan-rakan daripada warga Malaysia  terutamanya DAP.

"Saya yakin ia akan berjalan dengan baik.  Provokasi dan cerita-cerita kata nak merusuh, nak buat tindakan tak baik untuk menakutkan peniaga hanyalah khabar angin. Kami semua baik-baik belaka," katanya kepada pemberita di luar Kompleks Kraftangan di sini, Selasa.

Kompleks Kraftangan di Jalan Conlay adalah satu daripada empat lokasi peserta perhimpunan 'baju merah' sebelum berarak ke Padang Merbok.

Kumpulan 'baju merah' yang diketuai Jamal, salah satu NGO yang menyokong Perhimpunan Rakyat Bersatu anjuran Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) kelolaan Presidennya, Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Beliau menyasarkan kehadiran seramai 80,000 peserta 'baju merah' di lokasi Kompleks Kraftangan.

"Secara keseluruhan kita jangkakan perhimpunan ini disokong oleh kira-kira sejuta rakyat Malaysia.

"Sesiapa sahaja yang memakai baju merah, kita anggap menyokong perhimpunan ini. Tak kira di mana mereka berada," katanya.





Tags / Kata Kunci: Jamal Md Yunos , baju merah , Padang Merbok

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan