Tragedi Makkah: Jenazah Rusiah Suar Selamat Dikebumikan

Diterbitkan: Isnin, 14 September 2015 8:11 PM

Ismee Ismail (tiga, kanan) mengunjungi kediaman Allahyarham Rusiah Suar di Felda Besout 2 pada Isnin. Majlis tahlil ringkas diadakan sempena kunjungan tersebut. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

SUNGKAI: Jenazah Allahyarham Rusiah Suar, 56, iaitu jemaah haji Malaysia yang terkorban dalam kejadian kren tumbang di Makkah,Jumaat lepas, selamat dikebumikan, di Tanah Perkuburan Syara'ek, Makkah, Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Tan Sri Ismee Ismail berkata jenazah dikebumikan selepas solat subuh di Makkah dan sebelum itu disembahyangkan di Masjidil Haram bersama jenazah yang turut terkorban dalam tragedi berkenaan.  

"Sehingga kini baru satu jenazah membabitkan jemaah haji Malaysia selamat dikebumikan. Selepas ini saya percaya akan ada lagi seperti yang telah diumumkan iaitu seramai lima jemaah dari Malaysia yang telah meninggal dunia.

"Insya-Allah selepas solat zuhur di Makkah upacara pengebumian akan dijalankan. Kita doakan semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan orang yang beriman," katanya kepada pemberita selepas menziarahi waris keluarga Rusiah di kediamannya, di Felda Gunung Besout 2, di sini pada Isnin.

Rusiah yang sebelum ini dilaporkan hilang susulan insiden berkenaan,disahkan sebagai mangsa pertama jemaah Malaysia yang terkorban.

Ismee turut menyampaikan sumbangan daripada TH sebagai tanda simpati kepada waris keluarga Rusiah serta menyerahkan wang perlindungan Takaful sebanyak RM20,000.

"Waris jemaah haji yang meninggal dunia semasa menunaikan ibadat haji akan mendapat wang perlindungan Takaful," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga kini lima jemaah haji yang terkorban telah dikenal pasti dan hanya tinggal dua lagi jemaah yang masih belum ditemui.

"Kami sedang menunggu maklum balas daripada pejabat operasi di Makkah mengenai situasi dua jemaah haji berkenaan," katanya.

Dua jemaah haji yang masih hilang ialah Abdul Habib Lahman, 68, berasal dari Sik, Kedah dan Shahidan Saad, 52, dari Kodiang, Kedah.

Empat lagi yang disahkan terkorban ialah Rohana Ismail, 54, (Kuala Krai,Kelantan); Munah Jusoh, 73, (Cherang Ruku, Kelantan); Siti NurolshlizanZolkifli, 37, (Tanah Merah, Kelantan) dan mangsa terbaru disahkan hari ini ialah Zainun Taha, 69, dari Ampang Selangor. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Makkah , jenzah selamat dikebumikan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan