Jemaah Haji, Waris Anggap Kejadian Kren Tumbang Ujian Allah

Diterbitkan: Sabtu, 12 September 2015 7:12 PM

(Ubah saiz teks)

KELANA JAYA: Kejadian kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah yang menyebabkan lebih 100 orang terkorban dan beratus lagi cedera semalam adalah dugaan dan ketentuan Allah kepada para jemaah haji dan waris.

Rata-rata jemaah yang ditemui Bernama di Kompleks Tabung Haji (TH), di sini berkata, kejadian tersebut tidak sedikit pun melemahkan semangat mereka malah perasaan ingin menjejakkan kaki ke tanah suci semakin berkobar-kobar.

Seorang jemaah, Mohd Salleh Yusof, 61, yang berasal dari Kota Baharu, Kelantan berkata kejadian yang tidak dijangka tersebut perlu diterima oleh semua jemaah dan waris mangsa yang terlibat dengan reda.

"Benda (kejadian) ini tak ada apa-apa bagi saya kerana ia kehendak Allah, kalau Allah kata nak jadi, jadi lah ia, kita perlu terima dan reda," katanya.

Selain berharap dikurniakan kesihatan yang sempurna sepanjang menunaikan haji nanti, Mohd Salleh turut berharap dan berdoa agar kejadian yang menyayat hati itu tidak akan berulang.

Mohd Salleh merupakan antara 450 jemaah yang bakal berlepas ke Tanah Suci dari Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1.30 pagi nanti.

Sementara itu perasaan yang sama turut dikongsi oleh isteri Mohd Salleh, Ramlah M. Shah, 62, yang berharap agar keadaan di Makkah nanti akan kembali seperti biasa bagi melancarkan perjalanan ibadah para jemaah.

Ramlah bagaimana pun mengakui ada sedikit perasaan takut dan bimbang setelah anaknya menyampaikan berita itu dan menunjukkan gambar kejadian tersebut yang diperoleh dari internet.

"Takut memang takut juga lah namun saya yakin Allah akan sentiasa melindungi saya dan jemaah yang lain, Dia juga tidak akan menduga hambanya jika hambanya itu tidak mampu menghadapinya," katanya.

Dalam pada itu, sepupu Mohd Salleh, Faridah Ahmad, 54, yang ditemui ketika menghantar kedua-dua pasangan itu berkata beliau yakin akan keupayaan TH untuk sentiasa menjaga kebajikan dan keselamatan para jemaah.

Katanya, melalui pengalamannya yang telah beberapa kali menunaikan haji, perkhidmatan TH adalah yang terbaik.

"Jika lihat video dan gambar yang dikongsi di laman internet memang menakutkan, saya pun hairan bagaimana perkara tersebut boleh terjadi kerana melalui pengalaman saya pihak Arab Saudi memang sentiasa mengawal rapi kawasan kejadian, namun ini yang dinamakan ketentuan Ilahi," katanya.

Sementara itu, seorang lagi waris yang ditemui Sarbani Saleh, 41, yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan, berkata dia sentiasa berharap agar jemaah yang terlibat dalam kejadian itu sentiasa bersabar dengan dugaan ini.

Sarbani yang menghantar kakak iparnya Suwaibatul Aslamiah, 50, turut memaklumkan bahawa kakak iparnya ada melahirkan kerisauan apatah lagi dia berangkat ke Tanah Suci seorang diri tanpa kehadiran suaminya yang tidak tersenarai sebagai jemaah pada tahun ini.

"Memang masa jumpa saya tadi dia (Suwaibatul) menangis sebab takut. Sudah la ini kali pertama dia pergi dan seorang diri, ditambah lagi dengan berita kejadian yang mengejutkan ini. 

"Namun saya telah menasihati dia supaya bersabar dan kami seluruh keluarga akan sentiasa mendoakan kesejahteraan dan keselamatan beliau sepanjang berada di sana," katanya. 

-- Bernama
Tags / Kata Kunci: Makkah , Masjidil Haram , Tabung Haji

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan