SPRM Sedia Kerjasama Dengan Polis Siasat Kes Justo - Berita Semasa | mStar

SPRM Sedia Kerjasama Dengan Polis Siasat Kes Justo

Diterbitkan: Jumaat, 11 September 2015 7:02 PM

Xavier Andre Justo

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia bekerjasama dengan polis jika siasatan terhadap Xavier Andre Justo menemui wujudnya unsur rasuah.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, bagaimanapun pihaknya berpendapat polis wajar diberi ruang untuk menjalankan tugas kerana telah membuka kertas siasatan kes membabitkan bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd (PSI) itu.

"Pihak polis boleh meneruskan siasatan kerana mereka juga mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan terhadap kes berunsur rasuah.

"Namun, sekiranya polis berpendapat kes tersebut wajar disiasat oleh SPRM, oleh itu pihak kami sedia bekerjasama," katanya menerusi kenyataan di sini, Jumaat.

Azam berkata, jika SPRM yang melaksanakan tugas itu, bantuan polis dipohon bagi mendapatkan keterangan Justo yang ditahan di penjara Thailand.

Justo dihukum penjara tiga tahun bagi kesalahan peras ugut korporat yang diputuskan oleh Mahkamah Jenayah Thailand, bulan lalu.

Pakar teknologi maklumat warga Switzerland itu mengaku salah terhadap pertuduhan mencuri sejumlah besar data korporat daripada bekas majikannya PSI, maklumat yang menjadi punca kepada kempen media antarabangsa terhadap kerajaan Malaysia atas dakwaan salah guna kewangan dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dana pelaburan milik negara.

Tags / Kata Kunci: SPRM , Xavier Andre Justo , Azam Baki
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan