SPRM Nafi Tidak Siasat DEIG

Diterbitkan: Jumaat, 11 September 2015 10:17 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan bahawa tiada tindakan diambil agensi itu berhubung isu penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Simi Abdul Ghani berkata, sebaliknya suruhanjaya telah mengambil pelbagai langkah proaktif sebaik sahaja isu mengenai penubuhan DEIG dilaporkan oleh media.

"SPRM telah menemubual beberapa saksi serta mengambil beberapa dokumen berkaitan sejak 19 Ogos lepas.

"Bagaimanapun hasil siasatan kami setakat ini tidak menemui apa-apa kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan SPRM juga tidak bercadang untuk mengambil tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Pada Khamis, anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Selangor mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan di sebalik penubuhan DEIG yang meragukan walaupun pelbagai pendedahan telah dibuat.

Mengulas mengenai isu sumbangan zakat bernilai RM2.5 juta membabitkan DEIG, Simi berkata, siasatan terhadap isu itu sudah bermula pada Julai lepas dan masih lagi berjalan.

Penubuhan DEIG yang dimiliki sepenuhnya oleh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) telah menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang mahu kelemahan entiti baru itu didedahkan demi kepentingan rakyat Selangor.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, kewujudan DEIG telah diketahui oleh semua Adun negeri itu dan sebarang keraguan mengenainya tidak sepatutnya timbul kerana maklumat mengenainya telah dibentangkan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri pada Ogos lepas. - Bernama

Tags / Kata Kunci: SPRM , DEIG , Simi Abdul Ghani

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan