SKMM Ambil Tindakan Pihak Sebar Mesej Hasutan Perhimpunan

Diterbitkan: Khamis, 10 September 2015 3:26 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan terhadap pihak menyebarkan mesej berbaur hasutan menggesa orang ramai menyertai Himpunan Rakyat Bersatu pada 16 Sept ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata  SKMM sudah mendapat maklumat berhubung perkara tersebut termasuk memantau blog dan laman web yang mempromosikan perhimpunan itu.

"Ini adalah tanggungjawab kami demi menjamin keselamatan negara dan mana-mana yang boleh memecahbelahkan kaum dan agama, tindakan seharusnya diambil," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Sebelum itu, beliau menghadiri majlis pelancaran pertandingan permainan dalam talian dikenali Malaysia Cybergames di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini.

Penganjuran Himpunan Rakyat Bersatu atau perhimpunan baju merah  dikatakan akan diadakan pada 16 Sept sebagai tindak balas terhadap perhimpunan Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos lepas.

Pada Rabu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung sebuah artikel berbaur perkauman dan hasutan yang menyeru orang ramai menyertai perhimpunan itu.

Mengenai usaha sesetengah pihak cuba mempromosikan Himpunan Rakyat Bersatu, Salleh berkata SKMM terus memantau laman-laman web yang mempromosikan perhimpunan itu.

"SKMM akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana laman web dan blog yang mempromosikan perhimpunan itu walaupun pihak penganjur masih berurusan dengan polis untuk mendapat kelulusan mengadakan perhimpunan," katanya.

Bulan lepas, SKMM menyekat laman web yang mempromosi, menyebarkan maklumat dan menggalakkan orang ramai menyertai perhimpunan haram Bersih 4 kerana ia boleh mengganggu-gugat kestabilan negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam menasihatkan penganjur Perhimpunan Rakyat Bersatu supaya memilih tempat yang bersesuaian demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat, serta tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan di ibu negara atas faktor keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan warga kota.

Sementara itu ketika ditanya mengenai kemungkinan berlaku kebocoran transkrip prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Salleh berkata pihak berkuasa perlu menyiasatnya kerana ia satu tindakan tidak adil kepada kerajaan dan 1MDB.

"Adalah tidak adil bagi WSJ (Wall Street Journal) untuk membuat pendedahan sedemikian dan tindakan perlu diambil. Kita perlu menyiasat dari mana sumber tersebut mendapat (transkrip prosiding).

"Kalau ia (sumber) dari PAC, sudah tentu kita perlu menyiasat siapa antara mereka yang mengeluarkan maklumat tersebut ... pada saya tindakan seharusnya diambil," katanya.

Semalam, 1MDB melahirkan kebimbangan kemungkinan ada pihak terbabit dalam prosiding PAC yang membocorkan transkrip prosiding dan ini merupakan percubaan untuk menimbulan prejudis terhadap siasatan PAC.

Tags / Kata Kunci: Baju Merah , SKMM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan