42 Ahli Parlimen Sertai Garmin MP Step Challenge

Diterbitkan: Khamis, 10 September 2015 2:59 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seramai 42 anggota Parlimen menyahut cabaran menyertai program kecergasan 'Garmin MP Step Challenge'.

Program yang berlangsung selama tiga minggu bermula esok hingga 2 Okt adalah antara inisiatif ke arah membudayakan sukan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata program itu juga sebagai usaha menyemarakkan sambutan Hari Sukan Negara pada 10 Okt ini.

"MP perlu menjadi teladan kerana disebalik kesibukan kerja, tuntutan parlimen dan komitmen di kawasan (diwakili), kita perlu amalkan gaya hidup sihat bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga masyarakat yang kita wakili," katanya selepas melancarkan Garmin MP Step Challenge di bilik taklimat Parlimen, di sini, Khamis.

Setiap peserta dibekalkan pengukur kecergasan model Garmin Vivofit 2 untuk mengukur tahap kecergasan, jumlah langkah harian dan kalori yang dibakar.

Cabaran itu menawarkan hadiah utama RM10,000 yang akan digunakan pemenang bagi melaksanakan aktiviti sukan di kawasan masing-masing bersempena Hari Sukan Negara.

Mengulas mengenai Hari Sukan Negara, Khairy berharap lebih banyak penyertaan daripada masyarakat dalam aktiviti yang akan diadakan.

Ia bukan sahaja diilhamkan sebagai platform perpaduan, pencegahan masalah kesihatan dan simbol kepada keterangkuman tetapi juga bagi meluaskan potensi bakat sukan ke peringkat dunia, katanya.

Tags / Kata Kunci: Ahli Parlimen

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan