Perbincangan Selangor-Splash Lebih Lancar Selepas Perjanjian Air

Diterbitkan: Rabu, 9 September 2015 1:52 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perbincangan di antara kerajaan negeri Selangor dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) akan lebih lancar berikutan pemetraian perjanjian air baru-baru ini, kata AmResearch.

Firma penyelidikan itu berkata, Menteri Besar Mohamed Azmin Ali membayangkan kerajaan negeri telah memulakan rundingan dengan SPLASH dan berharap perjanjian dapat ditandatangani pada Julai tahun depan.

"Kami yakin rundingan dapat diselesaikan dalam tempoh yang lebih singkat berbanding rundingan dengan Puncak Niaga Holdings Bhd," katanya dalam satu nota.

Perjanjian penstrukturan semula air yang lama tertangguh, akhirnya selesai berikutan pemetraian empat perjanjian semalam di antara Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (PASSB).

Dengan itu, secara rasminya ia memenuhi Perjanjian Induk dan penyerahan RM2 bilion daripada PAAB kepada PASSB untuk mengambil alih Syabas, Permodalan Negeri Selangor Bhd, Konsortium ABASS dan SPLASH.

"Walaupun perkembangan terbaru sudah dijangka, kami sedang menunggu pemetraian perjanjian dengan SPLASH bagi menyelesaikan secara muktamad usaha menstruktur semula air di negeri ini. Kami mengekalkan saranan 'neutral' ke atas sektor ini," tambahnya.

Sementara itu, pemetraian perjanjian air itu juga menandakan selesainya penjualan aset air Puncak Niaga Holdings Bhd kepada PASSB pada RM1.55 bilion.

Sebuah lagi firma penyelidikan, Affin Hwang Capital menyifatkan perkembangan itu sebagai positif dan berkata, ia akhirnya akan membuka jalan kepada Puncak Niaga untuk menerima hasil yang sudah lama tertangguh daripada jualan aset airnya.

"Puncak akan menerima RM2.90 sesaham selepas menjual aset airnya dan ia merancang untuk mengagihkan RM1 sesaham sebagai dividen khas," katanya dalam stu nota.

Tags / Kata Kunci: Air Selangor , Splash

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan