SSM Beri Diskaun Berperingkat Pembayaran Kompaun Ikut Akta Syarikat

Diterbitkan: Selasa, 8 September 2015 12:50 PM

Datuk Hamzah Zainuddin

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Diskaun pembayaran kompaun secara berperingkat akan diberikan kepada pihak yang melakukan kesalahan mengikut Akta Syarikat 1965, dan akta lain yang ditadbir urus oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi memastikan tiada tunggakan menjelang Januari tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin, berkata 80 peratus diskaun akan diberikan kepada syarikat atau individu yang menyelesaikan tunggakan mengikut akta-akta tersebut pada September, diikuti 70 peratus diskaun sekiranya bayaran dibuat pada Oktober tahun ini.

"Seterusnya pembayaran yang dibuat pada bulan November akan menerima diskaun sebanyak 60 peratus dan bagi Disember pula sebanyak 50 peratus bagi mereka yang menyelesaikan tunggakan kompaun masing-masing sebelum tahun depan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan SSM 2015.

Hamzah turut menegaskan bahawa sekiranya kompaun tidak dijelaskan menjelang hujung tahun ini, individu dan syarikat harus membayar penuh jumlah denda yang dikenakan.

Sejak 2012 hingga kini, sejumlah 179,179 kompaun bernilai hampir RM150 juta dikenakan ke atas pelbagai kesalahan seperti tidak menghantar penyata tahunan bersama penyata akaun beraudit ke SSM, tidak membentangkan akaun syarikat pada mesyuarat agung tahunan (AGM) dan tidak mengadakan AGM.

Sementara itu, Hamzah berkata pindaan Akta Syarikat 1965 akan dibentangkan di Parlimen pada penggal hadapan.

Antara perkara yang membabitkan akta tersebut ialah penubuhan syarikat tidak perlu membabitkan dua individu, berbeza dengan akta syarikat sedia ada yang memerlukan dua individu untuk menubuhkan syarikat.

Pindaan rang undang-undang ini merangkumi pelbagai peruntukan yang inovatif sebagai pemudah cara untuk menjalankan perniagaan, menjadikan syarikat lebih berdaya saing serta kos pentadbiran yang lebih efektif.

"Maklum balas dan pandangan yang diterima daripada pihak awam telah dikumpul dan diperhalusi untuk dijadikan dasar dalam penggubalan rang undang-undang baharu syarikat mengikut acuan kita sendiri," katanya,.

Persidangan dua hari yang bermula Selasa bertemakan Pemodenan Akta Syarikat, Mewujudkan Sinergi dalam Landskap Perniagaan di Malaysia, dengan tumpuan ke atas usaha untuk memodenkan akta tersebut agar dapat memberi kesan langsung kepada pelaksanaan perundangan korporat yang dinamik, impak kepada memudahkan prosedur dan mewujudkan sinergi dalam menjalankan perniagaan di Malaysia.
Tags / Kata Kunci: SSM , bayar kompaun , Datuk Hamzah Zainuddin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan