Wan Azizah Jamin PAS Akan Dipelawa Sertai Pakatan Baharu

Diterbitkan: Selasa, 8 September 2015 6:38 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: PAS tidak akan dipinggirkan dalam pembentukan pakatan pembangkang baharu, sebaliknya akan turut dijemput untuk menyertainya, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut ketua pembangkang itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin PAS minggu depan bagi membincangkan mengenai pelawaan kerjasama tersebut.

"Krisis keyakinan yang melanda Malaysia menuntut alternatif kepada kerajaan BN (Barisan Nasional). Saya yakin bahawa pakatan pembangkang baharu akan menjadi lebih kuat dan dalam kedudukan yang lebih baik untuk melawan rasuah dan salah urus ekonomi pentadbiran (Datuk Seri) Najib (Tun Razak).

"Saya akan bertemu dengan pimpinan PAS dan DAP dalam tempoh seminggu akan datang untuk membincangkan ke arah pembentukan pakatan pembangkang yang baharu," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Dr Wan Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, beliau juga telah bertemu dengan pengerusi penaja Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu bagi membincangkan mengenai perkara yang sama.

"Kami mengadakan mesyuarat yang berhasil untuk membincangkan hala tuju yang sama dan prinsip yang dikongsi bersama oleh kedua-dua belah pihak.

"Saya amat berbesar hati mengalu-alukan Amanah sebagai parti pembangkang baharu," katanya lagi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan