Kekalkah Kedudukan Muhyiddin Dalam Umno?

Diterbitkan: Selasa, 8 September 2015 9:10 AM

Tan Sri Muhyiddin Yassin

(Ubah saiz teks)

MESYUARAT Majlis Tertinggi Umno pada Rabu menjadi sesuatu yang ditunggu-tunggu selepas khabar angin bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa yang lain akan dipecat daripada Umno bertiup kencang.

Perhatian media terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah lenyap sejak beliau digugurkan daripada Kabinet.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang mendarat di KLIA selepas pulang daripada bercuti bermain golf di Australia minggu lalu turut menjadi tajuk berita.

Beliau disambut oleh penyokong-penyokongnya yang memakai baju-T hitam dengan wajahnya dicetak di bahagian depan bersama tulisan 'I Am Not A Yes Man' di bahagian belakang.

Beliau begitu 'sporting' memegang baju-T itu tetapi ketika ditemui pemberita, beliau hanya tersenyum dan melambai.

Situasi pastinya lebih panas esok apabila Majlis Tertinggi Umno bersidang buat kali pertama sejak Muhyiddin hilang jawatan dalam Kabinet.

Khabar angin telah bertiup kencang dan kuat kononnya Muhyiddin, bekas menteri dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal serta beberapa yang lain akan dipecat daripada Umno dan ramai membayangkan ia akan berlaku pada mesyuarat Majlis Tertinggi.

Sebenarnya khabar angin ini bermula sehari selepas rombakan Kabinet pada Julai lalu. SMS yang didakwa sebagai 'Berita Panas dari bilik kebal Umno' telah tersebar.

Selain Muhyiddin, nama lain yang termasuk dalam senarai yang akan dipecat adalah Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Menteri Besar Kedah), Datuk Seri Aziz Sheikh Fadzir (MP Kulim Bandar Baru), Datuk Seri Ahmad Said (bekas Menteri Besar Terengganu), Datuk Jumat Idris (MP Sepanggar) dan ahli politik Perak Datuk Hamidah Osman.

Khabar angin ini enggan 'dimatikan' kerana pemecatan Muhyiddin dan Shafie daripada Kabinet juga telah didahului oleh khabar angin.

Ketika itu, tidak ramai menyangka bahawa Najib mempunyai keberanian untuk menggunakan kuasanya tetapi beliau telah melakukannya dan sebab itulah khabar angin ini tetap dianggap sebagai sesuatu yang lebih serius.

Walau bagaimanapun, tidak ada siapa yang dapat menjelaskan mengapa pemimpin-pemimpin ini akan dipecat.

Ya, Muhyiddin dan Najib tidak lagi berada dalam gelanggang yang sama dan beliau telah dipecat daripada Kabinet. Tetapi adakah beliau akan dipecat dari parti kerana suara yang bertentangan? Ia tidak masuk akal.

Ahmad pula telah muncul di atas pentas yang sama seperti Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi adakah ianya alasan untuk pemecatan?

Alasan yang lebih kukuh untuk pemecatan adalah percubaan tidak senonoh Ahmad untuk menjatuhkan kerajaan Terengganu tahun lepas.

"Tidak ada kebijaksanaan jika Muhyiddin atau Shafie dipecat. Anda tidak boleh menghukum seseorang sebanyak dua kali," kata Timbalan Ketua Umno Ketereh, Datuk Alwi Che Ahmad.

Terdapat suara-suara kritikal terhadap Muhyiddin tetapi hanya dua Umno bahagian secara rasmi telah meluluskan resolusi menentangnya.

Umno Bahagian Penampang di Sabah meminta agar beliau diheret ke jawatankuasa disiplin manakala Umno Bahagian Sungai Besar, Selangor mahukan beliau meletakkan jawatan sebagai timbalan presiden.

Majlis Tertinggi amat dikuasai oleh Najib tetapi sangat sedikit daripada mereka akan bersetuju untuk memecat sama ada Muhyiddin atau Shafie yang dipilih parti.

"Selagi tidak terbukti bahawa mereka telah membawa kemudaratan kepada parti, saya akan membantah sebarang langkah untuk memecat mereka. Najib tidak pernah meminta mana-mana di kalangan kami untuk menyerang Muhyiddin.

"Muhyiddin juga tidak berkelakuan seperti Datuk Seri Anwar, beliau terus setia bersama dengan Umno," kata ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Reezal Merican.

Beberapa pemimpin Umno secara terbuka menolak khabar angin pemecatan tersebut.

Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ia tidak ada dalam agenda mesyuarat dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Rahman Dahlan berkata, 'hati kecil saya tahu bahawa ia tidak akan berlaku'.

Pemecatan Muhyiddin akan menyebabkan berlakunya riak politik yang lebih dalam Umno JOhor. Najib tidak memerlukan krisis lain dalam pentadbirannya.

Dalam keadaan normal, jawatankuasa pengurusan Umno, yang diketuai oleh Muhyiddin akan bertemu sebelum setiap mesyuarat Majlis Tertinggi.

Sebaliknya pada Isnin, Biro Politik yang dipengerusikan oleh Najib bertemu, menguatkan lagi khabar angin pemecatan.

Majlis Tertinggi adalah badan pembuat keputusan tertinggi dalam Umno dan biro politik hanya berada satu tahap di bawahnya.

Semua pimpinan utama, termasuk Muhyiddin dan Shafie, hadir dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menulis di Twitter tentang 'suasana positif' mesyuarat.

Tetapi itu tidak akan menghentikan khabar angin yang akan terus bertiup sekurang-kurangnya sehingga esok.
Tags / Kata Kunci: MT Umno , Tan Sri Muhyiddin Yassin

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Kolumnis

iklan

Iklan