DBKL Cadang Wujudkan Gerabak LRT Khas Buat Penunggang Basikal

Diterbitkan: Isnin, 7 September 2015 9:00 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebagai langkah ke arah bandar raya hijau, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahu menggalakkan penggunaan basikal dalam kalangan warga kota dengan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk yang membolehkan basikal dibawa ke dalam gerabak Transit Aliran Ringan (LRT).

Pengarah Eksekutif Perancangan DBKL Datuk Mohd Najib Mohd berkata penyediaan kemudahan itu dengan kerjasama Prasarana Malaysia Bhd, melibatkan ruang gerabak khas untuk penunggang basikal lipat di dalam LRT manakala bagi penunggang basikal yang lain akan disediakan ruang penyimpanan basikal di setiap stesen.

"Bagaimanapun perancangan mengenai kebenaran membawa basikal ke dalam tren LRT melibatkan pengguna LRT di luar waktu puncak sahaja.

"Pada peringkat membangunkan pelan induk ini, tumpuan utama ialah 'the first miles connection' iaitu untuk menggalakkan masyarakat menggunakan basikal ke stesen-stesen LRT berhampiran kawasan perumahan mereka.

"Dengan adanya kemudahan yang bakal disediakan, saya harap agar seluruh warga kota memberi sokongan dengan beralih menggunakan basikal dan kemudahan awam ke tempat kerja, sekolah dan lain-lain tempat," katanya pada sidang media selepas merasmikan seminar 'Misi Prasarana Berbasikal Belanda ke Kuala Lumpur' di sini, Isnin.

Mohd Najib berkata perancangan itu akan dipertimbangkan secara lanjut oleh pihak Prasarana.

Antara kemudahan lain yang turut dalam perancangan termasuklah tempat persinggahan untuk menyalin pakaian dan laluan basikal yang lengkap dengan ciri keselamatan khas buat orang awam terutamanya pelajar-pelajar sekolah.

Beliau berkata antara laluan pengguna basikal yang akan dilaksanakan adalah dari Dataran Merdeka ke Mid Valley sejauh 5.5 kilometer, Wangsa Maju ke Taman Melati sepanjang empat kilometer dan lorong dari Wangsa Maju ke Taman Batu Muda, sejauh dua kilometer.

Katanya inisiatif dalam membangunkan infrastruktur dan kemudahan untuk penunggang basikal bagi tahun ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM5 juta.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Prof Datuk Dr Naim Mohamad turut mencadangkan agar sekolah-sekolah dan komuniti penduduk untuk mewujudkan persatuan basikal bagi mendekatkan diri mereka dengan amalan berbasikal.

"Pendekatan ini dilihat menjadi platform terbaik dalam menarik minat dan memberi kesedaran kepada masyarakat untuk membantu dalam mengurangkan kesesakan dan mengamalkan gaya hidup sihat," cadangnya.

Dalam melestarikan hasrat itu, DBKL dengan kerjasama Kedutaan Belanda menganjurkan seminar 'Hop on, lah!' hari ini sebagai langkah untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran Belanda dalam merakyatkan masyarakatnya dengan penggunaan basikal.

Kemudahan gerabak khas untuk pengguna basikal sudahpun diaplikasikan di Belanda berikutan jumlah basikal lebih banyak berbanding jumlah penduduknya iaitu sebanyak 19 juta basikal berbanding 17 juta penduduk.
 - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: LRT , Prasarana , DBKL

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan