Tidak Timbul Isu Cepat Atau Lambat Dapatkan Hasil Siasatan MH370 - Liow

Diterbitkan: Ahad, 6 September 2015 5:36 PM

Liow Tiong Lai.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata tidak timbul isu cepat atau lambat dalam mendapatkan keputusan hasil siasatan serpihan MH370 yang ditemui di Pulau La Reunion kerana Malaysia dan Perancis mempunyai cara dan kepakaran masing-masing.

"Pakar kita buat keputusan (pengumuman) sebelum ini bahawa flaperon itu berdasarkan rekod teknikal sedia ada dengan MAS. Sebab itu kita cepat (buat keputusan).

"Bagi pihak Perancis, mereka hendak membuat kajian dan pengesahan lanjut. Kita setuju dan tiada masalah. Mereka pergi ke Boeing termasuk mengambil nombor pendaftaran. Jadi akhirnya, keputusan yang sama dengan Malaysia.

"Pelbagai cara boleh dilakukan untuk mendapatkan pengesahan. Kita yakin memang milik MH370. Kenapa lambat atau cepat, tanyalah Perancis," katanya.

Beliau mengulas tindakan beberapa pihak yang mempersoalkan tindakan Malaysia membuat pengumuman pengesahan serpihan sayap yang ditemui itu adalah milik MH370 lebih awal daripada Perancis.

Presiden MCA itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan MCA Wilayah Persekutuan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Wangsa Maju di sini, Ahad.

Liow berkata semua pihak yang terlibat dalam siasatan termasuk Malaysia perlu menunggu analisis pakar dari kumpulan usaha pencarian di Australia yang masih mencari MH370 untuk tindakan lanjut.

Dilapor pada 4 September, Pendakwa Raya Perancis mengesahkan serpihan sayap yang ditemui di Pulau Reunion adalah milik MH370.

Menurut laporan Reuters, pendakwa raya Perancis berkata seorang juruteknik dari Airbus Defense and Space (ADS-SAU) di Sepanyol yang membuat alatan untuk Boeing, mengesahkan satu daripada tiga nombor yang ditemui di serpihan sayap itu adalah nombor siri bagi MH370 Boeing 777.

Serpihan sayap berkenaan ditemui di pantai pulau jajahan Perancis itu pada 29 Julai lepas.

Penerbangan MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing itu hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac 2014.

Pada 6 Ogos lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan serpihan sayap yang ditemui itu adalah milik MH370.

Tags / Kata Kunci: MH370 , Liow Tiong Lai

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan