Syarikat Percetakan Disaran Rujuk DBP - Kamalanathan

Diterbitkan: Ahad, 6 September 2015 6:45 PM

Kamalanathan (kiri) bergambar bersama Ketua Sektor, Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang Mohd Raauf Jali (kanan) selepas Jabatan Pendidikan Negeri Pahang di umumkan sebagai Pemenang Anugerah Pengurusan Skim Pinjaman Buku Teks Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2015 bagi Kategori Jabatan Pendidikan Negeri pada Ahad. - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Syarikat swasta yang diberi kontrak mencetak buku teks sekolah rendah dan menengah disaran supaya merujuk dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi menjamin kualiti naskhah berkenaan.

Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan berkata ia bagi memelihara kredibiliti kandungan buku teks sebagai buku rujukan utama pembelajaran di sekolah serta mengatasi masalah kesilapan maklumat dan penggunaan bahasa yang salah.

"Perkara ini penting dalam mengurangkan risiko kesalahan yang tidak  sewajarnya kerana kita menyampaikan maklumat pendidikan dalam melahirkan generasi berilmu pengetahuan, maka input yang diberikan mestilah tepat dan DBP adalah institusi yang terbukti mampu memartabatkan bahasa dan cemerlang dalam industri percetakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Pengurusan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) Cemerlang peringkat kebangsaan 2015 di sini, Ahad.

Majlis itu bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atas sumbangan dan pencapaian cemerlang mereka dalam melaksanakan pengurusan SPBT.

Mengulas lanjut, Kamalanathan berkata kementerian juga akan meneliti kewajaran memberi lebih banyak kontrak percetakan buku teks kepada DBP dalam usaha menangani isu kawalan kualiti tersebut.

Media sebelum ini memetik Presiden Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM), Datuk Badruddin Abu Bakar sebagai berkata persatuan itu mahu kerajaan meningkatkan peratusan pemberian kerja mencetak buku teks sebanyak 50 peratus kepada DBP daripada 20 peratus ketika ini di mana 80 peratus dikuasai syarikat swasta.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP Datuk Dr Awang Sariyan berkata pihaknya sentiasa bersedia untuk menerima tanggungjawab sekiranya diberikan mandat lebih besar dalam industri percetakan sejajar dengan prinsip DBP iaitu bermutu dan berwibawa dalam menerajui pengembangan bahasa ke arah pembinaan negara bangsa.

Dalam perkembangan lain, Kamalanathan turut menafikan dakwaan yang tersebar di media sosial bahawa kandungan buku teks Sejarah Tahun Tiga adalah berat sebelah dan tidak memuatkan fakta sejarah sebenar tentang wira negara yang berjaya menawan puncak Gunung Everest.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa tidak ada sejarah yang berhak diubah dan kerajaan tidak pernah menafikan jasa setiap wira yang telah mengharumkan nama negara, cuma perlu jelas di sini topik pada buku tersebut sedang membincangkan tentang pencapaian dan sejarah yang dicipta oleh anak muda dari Asia Tenggara.

"Sedangkan nama dua wira negara pertama berjaya menjejak kaki ke Gunung Everest itu sudah pasti menjadi fakta penting dan telah disertakan dalam kebanyakan buku teks sejarah di sekolah-sekolah, tidak ada langsung isu berat sebelah atau menafikan sumbangan mana-mana pihak kepada negara," katanya.

Isu itu timbul berikutan nama M. Magendran dan N. Mohandas tidak ditulis sebagai pendaki pertama yang mengharumkan nama Malaysia sebaliknya nama Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin, 22, bersama temannya Ahmad Reduan Rozali, 22, terpahat sebagai fakta pendaki gunung tertinggi di dunia itu.

Dalam pada itu, Kamalanathan berkata kementerian semakin hampir mencapai matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), di mana buku teks digital sedia ada sedang ditambah baik kepada buku teks digital interaktif di mana pelajar tidak perlu lagi terbeban untuk membawa buku teks bercetak ke sekolah menjelang 2020. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: DBP , P. Kamalanathan , Gunung Everest

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan