Pijak Gambar Pemimpin: 297 Laporan Polis Diterima - Ahmad Zahid

Diterbitkan: Ahad, 6 September 2015 3:47 PM

(Ubah saiz teks)

ALOR GAJAH: Sebanyak 267 laporan polis diterima sehingga pukul 8 pagi tadi berhubung kes memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada perhimpunan Bersih 4, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, empat individu telah dikenal pasti melakukan perbuatan itu, namun lebih ramai peserta dijangka ditahan kerana disyaki melakukan perbuatan tersebut.

"Tindakan (ke atas mereka) sedang dijalankan. Tolong hormati pemimpin, kalau berbeza pandangan sekalipun, jangan hina dan memijak gambar pemimpin.

"Dalam hal ini, saya lihat ada hikmahnya kerana atas nama pemimpin yang dihina, Insya-Allah Umno dan PAS akan mengambil tindakan sama terhadap mereka yang terlibat," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Masjid Tanah di sini, Ahad.

Sehubungan itu, beliau menegaskan tiada lagi amaran kepada pihak yang menganjurkan perhimpunan haram di negara ini sehingga mengganggu perpaduan dan ketenteraman rakyat yang telah terjalin sejak sekian lama.

Ahmad Zahid berkata, pihak polis akan segera mengambil tindakan tegas bukan saja kepada penganjur tetapi juga peserta yang jelas melanggar undang-undang negara.

"Selepas ini, jangan marah polis, jangan marah Kementerian Dalam Negeri dan jangan marah kerajaan, sebaliknya marah diri sendiri. Walaupun Akta Perhimpunan Aman mengizinkannya, tetapi jika lokasi yang digunakan itu tidak digazetkan (untuk perhimpunan) tindakan tegas menanti mereka.

"Ini negara demokrasi buat cara demokrasi. Suka saya sebut, penganjur perhimpunan haram berkenaan tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang," katanya.-- Bernama



Tags / Kata Kunci: Bersih , Perdana Menteri , Ahmad Zahid Hamidi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan