356,900 Individu Dapatkan Nasihat AKPK Untuk Selesai Hutang

Diterbitkan: Sabtu, 5 September 2015 6:31 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah memberi khidmat kaunseling kepada 356,935 orang sejak ditubuhkan pada 2007 sehingga 31 Julai tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azaddin Ngah Tasir.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 37.8 peratus atau 135,042 individu mengikuti Program Pengurusan Kredit (PPK) untuk menstruktur semula hutang mereka dengan institusi kewangan.

"Sehingga akhir Julai tahun ini, 8,321 kes telah berjaya dikeluarkan daripada program itu dengan jumlah hutang tertunggak RM345.6 juta.

"Kami dapati 80 peratus daripada peserta kami cukup berdisiplin untuk mengikuti apa yang kami rancang untuk mereka.

"Dan kami berharap mereka akan terus komited kepada perubahan itu dan pulih," katanya kepada pemberita di Kempen Jelajah Bijak Wang di UTC Pudu Sentral di sini, Sabtu.

Dianjurkan Kementerian Kewangan dan AKPK, kempen itu yang berlangsung di seluruh negara sehingga Disember ini dirasmikan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abd Ghani.

Bagaimanapun Azaddin berkata, AKPK tidak dapat membantu mereka yang meminjam wang daripada 'Ah Long' atau pemberi pinjaman wang haram.

Beliau menasihatkan individu yang amat memerlukan bantuan untuk mendapatkan nasihat kewangan daripada AKPK, dan bukannya pihak ketiga.

"Kami menerima banyak laporan mengenai peminjam ditipu pihak ketiga yang menawarkan diri untuk membantu mereka. Sebaliknya pihak ketiga berkenaan membawa masalah itu kepada kami (AKPK) selepas mengenakan yuran perundingan ke atas mereka," katanya.

Sementara itu, Johari berkata, kerajaan sangat bimbang mengenai tahap hutang isi rumah yang telah mencapai 87 peratus daripada keluaran dalam negara kasar dan menggesa orang ramai bertindak bijak dalam menguruskan kewangan peribadi.

Menurutnya, perbelanjaan berlebihan melalui kad kredit serta pinjaman peribadi sangat membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan bayaran balik pinjaman untuk hartanah kediaman dan kenderaan.

"Memiliki hartanah dan kenderaan adalah penting kerana ia adalah keperluan.

Bagaimanapun, saya bimbang dua perkara itu (pinjaman peribadi tertunggak dan hutang kad kredit) kerana ia boleh memusnahkan diri dan aset individu, institusi keluarga dan negara," katanya.

Mengenai penyusutan ringgit, Johari berkata, ia tidak menjejaskan penstrukturan semula hutang individu yang dijalankan bank di bawah program AKPK kerana ia dibuat dalam mata wang tempatan.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: AKPK , hutang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan