"Jangan Campur Sumpah Saya Dengan Allah" - Khalid Samad

Diterbitkan: Sabtu, 5 September 2015 7:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Ahli Parliman Shah Alam, Khalid Samad mengingatkan ulama PAS supaya tidak masuk campur dalam isu bai'ah atau sumpah yang dibuat dengan nama Allah ketika berada dalam parti Islam itu.

Tegas Khalid, beliau yakin tindakan melanggar sumpah kerana bertindak keluar daripada PAS tanpa meletak jawatan sebagai wakil rakyat boleh ditebus dengan membayar kafarah.

"Sumpah ini antara kami dengan Allah, yang lain jangan campurlah.

"Biar kami serah kepada Allah. Kami buat ini (kafarah) pun mengikut apa yang terkandung dalam al-Quran dan hadis," katanya ketika ditemui pada majlis kafarah dan sumbangan di sini, Jumaat malam.

Turut sama berkafarah ialah Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan dua ahli Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang dilantik atas tiket PAS.

Mereka ialah bekas Yang Dipertua PAS Shah Alam, Azli Yusof dan bekas Naib Yang Dipertua, Mohamad Jamil Abd Rahim.

Keempat-empat mereka bertindak keluar PAS bagi menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

Kafarah bermaksud perbuatan yang boleh menghapus dosa dengan cara seperti membebaskan hamba, bersedekah dan puasa dengan syarat-syarat tertentu.

Bagi kafarah kerana melanggar sumpah ia boleh dilakukan dengan memberi makan sehingga kenyang 10 orang fakir miskin atau memberi pakaian kepada fakir miskin.

Sebelum ini Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed dilaporkan berkata bai’ah yang dilafaz oleh ahli PAS di seluruh negara tidak boleh ditebus melalui kafarah.

Jelasnya Mahfodz, bai’ah merupakan satu perkara berbeza dengan sumpah yang mana sumpah boleh ditebus melalui kafarah.

Bagaimanapun Khalid berpandangan bahawa punca sumpah yang dibuat terpaksa dilanggari perlu diambil kira dalam situasi yang dihadapi oleh beliau dan sembilan lagi bekas wakil rakyat PAS yang menyertai Amanah.

"Kena faham, sama ada kafarah kita akan diterima oleh Allah atau tidak ia bergantung kepada sebab mengapa kita langgar janji itu.

"Kita yakin Allah tahu dan kita beristigfar kerana terpaksa langgar janji itu dan kita mengharapkan...insyaAllah akan terima," katanya.

Mengulas mengenai bai'ah menceraikan isteri yang dibuat oleh PAS Kelantan, Khalid berkata talak berkenaan tidak sah kerana ia tidak disertakan dengan niat.

"Tak jatuh dengan automatik, kerana bila dia cakap...niat dia bukan nak cerai tapi niat dia untuk halang orang itu buat sesuatu. Dengan niat bahawa dia tak akan buat (keluar PAS) supaya kekallah.

"Ada banyak pandangan, tapi maklumat yang kita dapat dan pandangan yang paling kukuh ialah yang mengatakan ianya tidak automatik dan ia menjadi sebagai sumpah atau janji. Jika nak tebus janji atau sumpah, dia boleh batalkan dengan kafarah," katanya.

Tags / Kata Kunci: Khalid Samad , Kafarah , Bai'ah , PAS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan