"Saya Bukan Ikon Belia" - Anak TPM

Diterbitkan: Jumaat, 4 September 2015 2:49 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Selepas mempertahankan kritikannya terhadap peserta perhimpunan Bersih 4.0, Nurulhidayah Ahmad Zahid kini tampil memberi penjelasan berhubung gelaran 'ikon belia' yang menjadi pertikaian ramai.

Anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat berkata, beliau tidak pernah mendapat pengiktirafan 'ikon belia' setakat ini.

"Saya bukan 'ikon belia' dan tidak pernah diiktiraf oleh sesiapa. Gelaran itu diletakkan oleh RTM (stesen televisyen) ketika saya ditemubual secara langsung sempena sambutan Hari Kebangsaan.

"Penerbit ada bertanyakan kepada saya untuk jawatan saya perlu diletakkan (sebagai) apa. Saya memberitahu saya aktif dalam belia dan NGO (badan bukan kerajaan). Terpulang kepada penerbit untuk meletakkan jawatan apa yang sesuai," katanya menerusi akaun Instagram pada pagi Jumaat.

Status Datuk dan gelaran 'ikon belia' yang dibawanya menjadi perbualan hangat selepas gambar Nurulhidayah sedang ditemuramah dalam sebuah program televisyen dengan nama beliau terpapar di skrin televisyen.

Pada temubual itu, nama Nurulhidayah didahului dengan status Datuk dan turut disertakan 'ikon belia' sebagai gelarannya.

Nurulhidayah berkata, beliau hanya menyedari gelaran 'ikon belia' itu apabila melihat nama dan jawatannya semasa sedang bersiaran langsung.

"Terdetik di hati saya bahawa ini akan menjadi masalah sekiranya disalahertikan. Memang benar jangkaan saya. Inilah yang berlaku sekarang dan saya fikir ia perlu diperjelaskan," katanya.

Terdahulu, Nurulhidayah menafikan beliau mengeluarkan kenyataan bahawa gelaran Datuk adalah kurniaan yang diterimanya kerana menjadi ketua perbarisan dalam satu acara Askar Wataniah.

Sebaliknya, Nurulhidayah menjelaskan penganugerahan gelaran itu berasaskan kerjaya beliau sebagai Ketua Komunikasi Korporat di Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Askar Wataniah berpangkat Lt Muda itu sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila menyelar perhimpunan Bersih 4.0 yang diadakan pada hujung minggu lalu sebagai 'kerja bodoh'.

Tags / Kata Kunci: Ikon Belia , TPM , Bersih

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan