40 Warga Indonesia Masih Hilang Di Laut

Diterbitkan: Jumaat, 4 September 2015 8:40 AM

(Ubah saiz teks)

PELABUHAN KLANG: Lebih daripada 40 orang masih hilang selepas sebuah bot yang membawa pendatang tanpa izin dan dalam perjalanan pulang ke Indonesia dari sini karam di perairan Sabak Bernam.

Mayat 15 penumpang ditemui di laut kira-kira sembilan batu nautika dari barat daya Tanjung Sauh, lokasi di mana kejadian itu berlaku.

Beberapa nelayan menyelamatkan 19 penumpang dari 'bot pom-pom', sebuah bot kayu berukuran kira-kira 40 hingga 50 kaki panjang, yang membawa kira-kira 70 hingga 80 penumpang apabila ia karam awal pagi Khamis.

Laksamana Pertama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Mohd Aliyas Hamdan berkata bot yang berdaftar di Indonesia itu mungkin membawa lebih muatan dan kebanyakan penumpangnya disyaki pendatang tanpa izin.

Beliau berkata penumpang-penumpang itu dalam perjalanan pulang ke rumah untuk sambutan Hari Raya Haji.

Bot itu meninggalkan Kuala Sungai Bernam pada awal pagi dan menuju ke Tanjung Balai, Indonesia.

Antara yang maut adalah 13 wanita dan dua lelaki, katanya.

Mohd Aliyas berkata mayat pertama ditemui pada pukul 10.37 pagi dan selebihnya sehingga 9.15 malam. Mayat dan mangsa telah dihantar ke Hospital Teluk Intan, Perak.

Tidak ada maklumat mengenai anak-anak kapal dalam bot tersebut.

Pasukan mencari dan menyelamat masih mencari penumpang yang hilang, kata Mohd Aliyas kepada pemberita di pangkalan APMM di Tanjung Harapan.

Beliau berkata APMM masih cuba untuk mendapatkan maklumat tepat tentang jumlah mereka yang berada di atas bot.

Pangkalan operasi telah ditubuhkan di jeti Sungai Sumun di Hutan Melintang, Perak, katanya.

Di Petaling Jaya,Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar 

berkata, empat kapal Tentera Laut Diraja Malaysia, tiga buah bot, dua pesawat agensi dan sebuah pesawat TUDM C-130 terlibat dalam pencarian.


Ahmad Puzi berkata Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas) telah membantu untuk mencari lebih banyak mangsa.


Timbalan Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono berkata kedutaan akan membantu dalam mengenal pasti mangsa dan membawa pulang manga yang terselamat.

Pada Jun tahun lepas, sebuah bot kayu dengan 97 penumpang karam kira-kira dua batu nautika dari Sungai Air Hitam di Banting, menjelang tengah malam.

14 daripada mereka lemas, termasuk 12 wanita dan seorang kanak-kanak berusia lima tahun. 61 berjaya diselamatkan.

Bot itu meninggalkan sebuah jeti di Sungai Judah di Pulau Carey dan turut menuju ke Tanjung Balai.
Tags / Kata Kunci: bot karam , pendatang tanpa izin , APMM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan