Pemecatan Muhyiddin, Shafie Hanya Khabar Angin - Hishammuddin

Diterbitkan: Khamis, 3 September 2015 7:51 PM

Hishammuddin disambut meriah siswa siswi baru Universiti Tun Hussein Onn Malaysia ketika hadir pada majlis sempena Mingguan Haluan Siswa Siswi Pelajar Baharu Program Sarjana Muda Semester 1 sesi 2015/2016, di kampus universiti itu pada Khamis. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

BATU PAHAT: Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata dakwaan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dijadualkan bermesyuarat pada 9 September ini akan memecat atau menggantung keanggotaan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, hanyalah suatu khabar angin.

"Ini khabar angin kalau tidak saya sebagai naib presiden akan tahu jika ia merupakan aganda tetap," kata beliau selepas menghadiri majlis bersama kepimpinan negara pada Minggu Haluan Siswa Pelajar Baharu di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia di sini, Khamis.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian ketika mengulas mengenai khabar angin bahawa MT akan mengambil tindakan memecat atau menggantung keanggotaan Muhyiddin dan Mohd Shafie pada mesyuarat Rabu depan.

Beliau juga tidak pasti sama ada kedudukan Muhyiddin dan Mohd Shafie akan dibincangkan sebagai salah satu agenda dalam mesyuarat itu.

"Tidak semestinya perkara ini berbangkit pun. Ini perkara-perkara yang dihebohkan di sosial media dan sebagainya. Macam mana mereka (media sosial) nak tahu apa nak dibincangkan dalam MT. Saya sebagai ahli MT pun tidak tahu.

Tidak mungkin kita nak layan benda-benda (khabar angin) macam ni, mungkin tidak berlaku pun," katanya.

Beliau berkata masih ada banyak perkara yang lebih penting untuk dibincangkan dalam mesyuarat itu terutama yang berkaitan dengan kepentingan negara.

"Saya nak wujudkan satu kesedaran bahawa kita tiada masa untuk berpecah sesama kita kerana agenda lebih besar adalah melihat kepada ekonomi negara. (Kita) hendak lihat kepada kestabilan, keselamatan dan pertahanan negara," kata Menteri Pertahanan itu.

Beliau turut berkata bagi menangani kesemua perkara itu, kesemua anggota UMNO perlu bersatu dalam satu pasukan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan