Pengasingan Liang Liang Dan Anaknya Dilakukan Seminggu Sekali - Berita Semasa | mStar

Pengasingan Liang Liang Dan Anaknya Dilakukan Seminggu Sekali

Diterbitkan: Selasa, 1 September 2015 6:05 PM

Anak panda dilahirkan ibunya Liang Liang pada 19 Ogos lalu kini dikuarantin selama dua bulan di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC), Ulu Kelang.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengasingan Liang Liang dan anaknya akan dilakukan seminggu sekali bagi memastikan penilaian kesihatan yang berterusan dapat dilakukan ke atas panda gergasi itu dan anaknya.

Pengarah Zoologi dan Veterinar, Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC), Dr Mat Naim Ramli berkata pengasingan tersebut akan dibuat bergantung kepada keadaan semasa ibu dan anak berkenaan.

"Ia bagi membolehkan kami merekodkan tahap perkembangan ibu dan anak tersebut daripada segi berat, saiz, menilai najis yang dikeluarkan dan apa-apa yang diperlukan lagi untuk memantau perkembangan mereka," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Dr Mat Naim berkata pihaknya bercadang melakukan pengasingan itu pada setiap Sabtu, namun perlu diteliti perwatakan ibunya terlebih dahulu sebelum bertindak memisahkan mereka buat seketika.

Sebelum ini, pasangan ibu dan anak itu telah melalui pengasingan sementara sebanyak dua kali iaitu pada 22 dan 29 Ogos lepas.

"Kedua-dua proses pengasingan sementara itu dibuat selama dua minit dan ia berjaya dilakukan, jadi kami berharap pengasingan seterusnya ini akan turut berjaya," katanya.

Dr Mat Naim berkata menerusi pengasingan itu, pihaknya dapat mengesan perubahan fizikal anak panda betina berkenaan apabila mula wujud tompok hitam di beberapa anggota badan, namun matanya masih belum terbuka.

Sementara itu, Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata jumlah pengambilan makanan Liang Liang juga kembali normal seperti sebelum ia beranak, iaitu kira-kira 30 kilogram makanan sehari termasuk rebung, lobak merah dan juga batang buluh.


"Liang Liang dilihat amat prihatin, sayang dan terlalu menjaga anaknya itu. Ia menggunakan sebelah tangan untuk makan manakala sebelah lagi untuk memangku anaknya," katanya.

Rosly berkata ibu panda itu dijangka makan menggunakan kedua-dua tangannya dalam masa tempoh sebulan lagi.

Sejak melahirkan anak pada 18 Ogos lepas, Liang Liang pada mulanya enggan melepaskan anaknya selain menggunakan kedua-dua tangan untuk memangku dan melindungi anaknya, sekali gus menyukarkan petugas untuk membuat pemeriksaan.

Mengikut perjanjian dengan China, anak panda gergasi yang belum diberi nama itu hanya boleh berada di negara ini selama dua tahun sahaja sebelum perlu dihantar pulang ke republik berkenaan.

Liang Liang dan pasangannya Xing Xing, yang sebelum ini dikenali dengan nama Fu Wa dan Feng Yi, tiba di Malaysia dari China pada 24 Mei tahun lepas sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing.
Tags / Kata Kunci: Liang Liang , anak panda , Zoo Negara
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan