IPT Diminta Ambil Tindakan Terhadap Pelajar Sertai Demonstrasi Haram

Diterbitkan: Ahad, 30 Ogos 2015 9:50 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Institusi Pengajian Tinggi (IPT) diminta menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap penuntutnya yang terlibat dalam demonstrasi jalanan di hadapan bangunan Parlimen Selasa lepas.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata universiti masing-masing mempunyai hak untuk menilai dan membuat keputusan jenis tindakan yang akan diambil terhadap penuntut mereka yang terlibat.

"Kementerian akan menyerahkan kepada pihak IPT untuk menentukan jenis tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang terlibat dalam perhimpunan haram," katanya kepada pemberita pada Majlis Jamuan Makan Malam Alumni Universiti Sains Malaysia di sini Sabtu malam.

Idris turut menggesa supaya penuntut universiti awam tidak terlibat dengan demonstrasi yang bercirikan politik, sebaliknya perlu menumpukan perhatian terhadap pelajaran.

Selasa lepas, polis menahan 17 penuntut universiti yang menggelarkan diri mereka Langkah Siswa kerana membuat demonstrasi jalanan dan berkhemah di hadapan bangunan Parlimen.

Sementara itu, mengenai kejatuhan nilai mata wang ringgit, beliau berkata ia tidak banyak memberi kesan kepada pelajar di luar negara yang mendapat biasiswa kerajaan.

Ini kerana katanya, biasiswa akan diberi dalam bentuk mata wang asing mengikut negara tempat pengajian pelajar terbabit.

Tags / Kata Kunci: Bersih 4.0 , IPT

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan