Malaysia Bukan Bersendirian Sekat Laman Web

Diterbitkan: Sabtu, 29 Ogos 2015 11:09 PM

Heiko Maas

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia bukan satu-satunya negara yang mahu menyekat laman web yang membangkitkan kebencian dan menjejaskan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Sebaliknya, Jerman juga menuntut laman Facebook supaya mematuhi undang-undang negara berkenaan dengan melarang ungkapan-ungkapan berbentuk kebencian di dalam media sosial.

Dalam temubual bersama Reuters, Menteri Kehakiman Jerman Heiko Maas berkata Jerman tidak bertolak ansur terhadap sentimen perkauman dalam media sosial termasuk Facebook, sebuah syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat itu, walaupun perkara itu mungkin dibenarkan di negara berkenaan atas kebebasan bersuara.

"Jika Facebook mahu berurusan di Jerman, maka ia perlu mematuhi undang-undang negara Jerman. Tidak kira apa pun, kerana sebab-sebab sejarah, kita mempunyai tafsiran kebebasan bersuara yang lebih ketat berbanding Amerika,"katanya.  

Beliau berkata perbuatan mencetuskan kebencian perkauman adalah jenayah di Jerman sama ada ia disiarkan di Facebook atau diungkapkan di khalayak ramai.

"Internet bukanlah tempat di mana undang-undang boleh diketepikan di mana komen mudah tersebar dengan sewenang-wenangnya...tidak ada ruang dan bukan tempatnya bagi pengguna internet yang menyebarkan propaganda perkauman," kata Maas.

Malaysia menunjukkan kesungguhan sama terhadap apa jua yang menjejaskan ketenteraman awam semalam, apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat empat laman web yang didapati mempromosi dan menyebarkan maklumat berhubung perhimpunan haram Bersih 4.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata laman web itu adalah http://bersih.org, http://globalbersih.org,http://www.bersih.org dan http://www.globalbersih.org.

SKMM membuat keputusan itu kerana berpendapat bahawa maklumat yang disiarkan dalam empat laman web berkenaan boleh mengancam kestabilan negara.

Tags / Kata Kunci: Sekat laman web , Jerman , Heiko Maas

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan