Orang Ramai Mula Banjiri Pusat Bandar Untuk Sertai Bersih 4.0

Diterbitkan: Sabtu, 29 Ogos 2015 12:59 PM

Keadaan di depan Pasar Seni yang dipenuhi dengan peserta perhimpunan Bersih 4.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mereka yang mengambil bahagian dalam perhimpunan Bersih nampaknya sedikit demi sedikit telah mula memasuki bandar raya walaupun mengikut jadual yang ditetapkan ia sepatutnya bermula pada jam 2 petang.

Sebenarnya berdasarkan laporan para wartawan mStar yang berada di lapangan, mereka mula melihat orang awam yang memakai baju kuning mula menaiki tren LRT seawal jam 8.25 pagi ini.

Walaupun, pihak berkuasa telah mengeluarkan pekeliling yang menyebut, sebarang pemakaian baju berwarna kuning dengan logo dan lambang Bersih 4.0 tidak dibenarkan dan haram namun ramai yang tidak memperdulikan amaran itu.

Malah ada yang memakai jaket untuk menutup baju-t kuning yang tertulis perkataan BERSIH 4.0 sementara menunggu waktu rasmi perhimpunan pada jam 2 petang nanti.

Mereka mundar-mandir di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman menghala ke arah Dataran Merdeka seolah-olah seperti sedang bersiar-siar di pagi Sabtu.

Terdapat juga desas-desus yang mengatakan perkhidmatan tren LRT akan dihentikan mulai tengah hari nanti tetapi para wartawan kami telah menyaksikan sendiri Jalan Tuanku Abdul Rahman lengang tanpa kereta seawal jam 7.30 pagi - tidak sepertimana hari Sabtu sebelum ini.

Sementara itu wartawan kami juga melaporkan, kawasan yang paling ramai dengan kumpulan yang memakai baju-t kuning kini adalah di sekitar Pasar Seni, Masjid Jamek, Brickfields, Dataran Maybank dan Sogo.

Kesemua kawasan ini adalah merupakan kawasan popular dan kesukaan para peserta Bersih sejak dahulu lagi khususnya di Pasar Seni dan Masjid Jamek.

Wartawan mStar yang berada di Menara Maybank, Sofea Susan Albert Kasim melaporkan yang para peserta perhimpunan Bersih kini sudah mula melaungkan kata-kata "Bersih, bersih" manakala di kawasan Pasar Seni pula seorang peniaga kraftangan di situ ketika dihubungi mStar memberitahu yang peserta Bersih telah mula mengeluarkan sepanduk 'Bersih 4'.

Perhimpunan yang akan bermula secara rasmi pada jam 2 petang nanti dijadual untuk berarak menuju ke Dataran Merdeka di mana raptai dan persiapan untuk sambutan Hari Kebangsaan sedang diadakan.

Perhimpunan ini akan berterusan sehingga tengah malam ini.

Ia kemudian akan bersambung semula pada Ahad. Tidak diketahui apakah mereka yang mengambil bahagian dalam perhimpunan ini akan meneruskan bantahan mereka sehingga ke awal pagi Ahad.

Bersih telah diisytiharkan sebagai perhimpunan haram oleh pihak berkuasa tetapi arahan itu tidak diendahkan dan pihak penganjur telah berikrar untuk meneruskannya sepertimana yang dirancang.

Jika ia diteruskan juga pada jam 2 petang nanti, tidak diketahui apakah bentuk tindakan yang bakal diambil oleh pihak penguatkuasa undang-undang khususnya kepada mereka yang memakai baju-t kuning dengan tulisan Bersih 4.0.

Tags / Kata Kunci: Bersih 4.0

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan