UPM Terus Inovatif Aplikasi Teknologi Urus Sisa Makanan

Diterbitkan: Khamis, 27 Ogos 2015 10:24 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Khamis bergerak selangkah ke hadapan dalam usaha meningkatkan kualiti alam sekitar dengan memeterai kerjasama dengan sebuah syarikat industri teknologi pengurusan sisa makanan menjadi tenaga.

Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Fauzi Ramlan dan Ketua Pegawai Eksekutif CH Green Sdn Bhd, Ang Lee Kaw menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) yang menyasarkan usaha penghasilan baja cecair organik dan biogas daripada sisa produk pertanian dan makanan.

Menurut Dr Fauzi kerjasama itu juga sebagai langkah menggalakan aktiviti pertanian secara mampan dan inovatif serta kaedah penguraian secara komposit terhadap sisa makanan kepada tenaga yang diperbaharui.

"Untuk tujuan itu, CH Green telah menyediakan sebuah mesin pengkomposan segera bagi proses pengeluaran biogas Cowtech seberat 100 kilogram yang diletakkan di 'ladang 2' UPM untuk penghasilan baja cecair organik dan biogas daripada pelbagai sisa sampingan pertanian dan makanan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani perjanjian itu di Auditorium Fakulti Kejuruteraan UPM sempena Persidangan Antarabangsa Mengenai Kesinambungan Pertanian untuk Makanan dan Tenaga dalam Konteks Serantau dan Global kali ke-7 (ICSAFEI) 2015 bermula Selasa dan berakhir hari ini membabitkan lebih 200 peserta.

Sementara itu, Ang berkata, teknologi pengurusan sisa makanan dan bahan organik bagi mengurangkan pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) yang dikongsi dengan UPM bertujuan memberi pendedahan untuk mencapai matlamat meminimumkan sisa buangan atau sifar penyelesaian bagi sisa organik.

"Sebanyak 45 peratus bahan buangan negara adalah sisa makanan, oleh itu langkah pengasingan bahan buangan yang mula berkuat kuasa 1 September ini sangat relevan untuk kelestarian alam sekitar dengan adanya mekanisma guna semula sisa kepada hasil untuk teknologi hijau ini," katanya.

Menurutnya, mekanisma berkenaan mula diguna pakai oleh sektor perhotelan dan resort-resort di Thailand sebagai langkah mengurangkan lambakan sisa makanan.

Pada majlis sama, UPM turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan syarikat Alfa Laval Malaysia Sdn Bhd bertujuan menyediakan pendedahan praktikal berteknologi tinggi kepada bakal graduan ke arah pasaran kerja yang kualitatif.

Menurut Pengarah Urusan Alfa Laval Daniel Ng, melalui projek itu, syarikat akan mendirikan loji perintis seberat 200 kilogram untuk kegunaan Fakulti Kejuruteraan UPM untuk proses pemindahan haba, pengasingan dan pengendalian bendalir bagi memproses minyak dan lemak dalam industri pembuatan produk baharu seperti makanan, farmaseutikal dan etanol.

Tags / Kata Kunci: UPM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan