Kumpulan Anti-Bersih Buat Pusingan U, Batal Himpunan Pada Sabtu

Diterbitkan: Khamis, 27 Ogos 2015 8:16 PM

Jamal Yunus.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kumpulan anti-Bersih atau kumpulan baju merah membuat keputusan untuk menangguhkan protes mereka pada Sabtu ini.

Ketua kumpulan itu, Datuk Jamal Yunus berkata, keterangannya diambil di ibu pejabat polis Dang Wangi pada petang Khamis.

Satu pertemuan diadakan bersama Ketua Polis Kuala Lumpur dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi.

"Kita diberi taklimat mengenai bagaimana polis merancang untuk menangani perhimpunan Bersih 4.0.

"Mereka juga dinasihatkan untuk tidak mengadakan perhimpunan pada hari yang sama dan kita dengar nasihat mereka," katanya kepada pemberita di ibu pejabat polis Dang Wangi di sini.

Beliau berkata, kumpulan itu akan mengadakan perhimpunan bagi menyuarakan bantahan mereka terhadap Bersih 4.0 dalam masa seminggu atau dua minggu lagi.

"Kita akan ikut undang-undang dan akan mengadakan perhimpunan kita di lokasi yang bersesuaian.

"Kita mungkin adakan perhimpunan di stadium," katanya walaupun kumpulan itu sebelum ini telah membuat aturan logisitik untuk perhimpunan pada 29 Ogos ini termasuk menyewa bas bagi membawa peserta.

Jamal turut berkata, laporan mengenai pesertanya dinasihatkan untuk membawa parang dan senjata lain telah disensasikan.

"Kita tidak nasihatkan sesiapa untuk bawa senjata, kita hanya mengadakan demonstrasi mengenai teknik silat.

"Kita disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman kerana mengadakan demonstrasi dan saya akan bertanggungjawab sepenuhnya," katanya.

Terdahulu dilaporkan bahawa kumpulan anti-Bersih akan meneruskan perhimpunan balas mereka pada hujung minggu ini walaupun telah diberi amaran oleh pihak polis.

Jamal memberita pemberita pada Khamis bahawa kumpulan itu hanya akan membatalkan perhimpunan sekiranya penganjur Bersih 4.0 turut melakukan perkara yang sama.

Beliau mendakwa kumpulan anti-Bersih terdiri daripada 30,000 anggota dari lebih 280 badan bukan kerajaan (NGO) akan meneruskan rancangan mereka untuk mengadakan himpunan balas bagi membantah perhimpunan Bersih 4.0.

Kumpulan itu sebelum ini merancang untuk berkumpul di Plaza Low Yat pada 29 Ogos ini bermula dari pukul 2 pagi dan akan berarak ke Dataran Merdeka melalui Jalan Pudu pada pukul 10 pagi.

Tags / Kata Kunci: anti-Bersih , Bersih 4.0 , Jamal Yunus

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan