Pemandu Teksi "Tukar Angin"

Diterbitkan: Isnin, 24 Ogos 2015 8:07 AM

(Ubah saiz teks)

EKSKLUSIF

PETALING JAYA: Pemandu teksi di Malaysia sedang meninggalkan industri tersebut secara perlahan-lahan dengan menyalahkan kos yang semakin meningkat dan kemerosotan jumlah penumpang.

Terdapat pemandu teksi dikatakan sudah mendaftar dengan perkhidmatan tempahan pengangkutan seperti Uber dan GrabCar.

Uber mendakwa kira-kira 20 peratus mereka yang mendaftar bersama perkhidmatan tersebut sejak minggu lalu adalah dari kalangan pemandu teksi.

"Berdasarkan suku yang lalu, kami mempunyai ribuan yang mendaftar setiap minggu. Daripada jumlah itu, kira-kira 20 peratus adalah dari industri teksi," kata Pengurus Besar Uber (Malaysia) Leon Foong kepadaThe Star.

Beliau berkata Uber percaya dalam memberi pelbagai pilihan kepada penumpang dan mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah pemandu Uber yang ada setakat ini.

Difahamkan perkhidmatan tempahan pengangkutan menerusi aplikasi pintar seperti Uber dan GrabCar, menjejaskan pendapatan pemandu teksi dengan tawaran harga tambang yang lebih rendah menjadi faktor utama.

Satu perjalanan menggunakan perkhidmatan Uber dari PJ New Town ke Stesen LRT Bangsar berharga antara RM8 dan RM12 jika dibandingan RM11 atau lebih untuk tambang teksi.

Bagi perjalanan menggunakan perkhidmatan GrabCar boleh mencecah RM9 untuk laluan yang sama.

Perkhidmatan teksi juga mempunyai reputasi yang buruk di kalangan rakyat Malaysia dengan aduan yang kerap diterima adalah pemandunya tidak menggunakan meter.

Setiausaha Gabungan Koperasi Pengangkutan Malaysia Bhd, Mohd Salleh Mat Zin berkata kira-kira 20 peratus pemandu teksi di Lembah Klang beralih arah kepada perkhidmatan Uber dan GrabCar.

Katanya, kurangnya tindakan kerajaan terhadap perkhidmatan tersebut menjadi punca pemandu teksi mula bertukar angin.

"Saya tahu lima atau enam rakan saya sudah beralih arah kepada Uber dan GrabCar. Berapa ramai? Saya tidak tahu.

"Mereka perlu membayar permit untuk teksi dan semua kos lain. Sebuah GrabCar boleh mengambil penumpang di pusat membeli belah," katanya.

Pemandu teksi mendakwa pendapatan mereka mencatatkan kemerosotan yang dianggarkan antara 20 hingga 50 peratus.

Pada Sabtu, sembilan persatuan yang mewakili 800 pemandu mengadakan bantahan di Klang kesan daripada pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan ura-ura kenaikan harga bahan api kenderaan gas asli (NGV) pada pertengahan September ini.

Setiausaha Persatuan Pemilik dan Pemandu Teksi India (Wilayah Persekutuan dan Selangor) S. Balakrishnan berkata kenaikan NGV dan GST bermaksud mereka terpaksa menanggung kos tambahan sebanyak RM400.

"Perniagaan sudah merosot kepada 50 peratus. Jangan naikkan harga NGV. Keadaan sudah semakin buruk disebabkan GST.

"Mungkin saya akan menyertai Uber. Kami semua akan bertukar angin dalam masa terdekat," katanya.

Presiden Persatuan Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Aslah Abdullah berkata pemandu yang tidak dapat bersaing dengan Uber atau GrabCar perlu mendapatkan pekerjaan lain.

"Jika mereka tidak dapat bersaing, mereka tidak perlu memandu teksi lagi. Mereka wajar bertukar pekerjaan.

"Adakah SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) pernah memberikan apa-apa insentif kepada pengusaha? Tidak ada sama sekali tetapi kami masih lagi beroperasi," kata Aslah yang juga Pengerusi Comport Taxi.

Jumlah sebenar kenderaan yang menawarkan perkhidmatan tempahan pengangkutan menerusi aplikasi pintar di Lembah Klang tidak diketahui.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata berkata kira-kira 105 teksi haram ditahan sejak Oktober tahun lalu.

Perkhidmatan teksi Uber dan GrabCar tidak menyalahi undang-undang tetapi pemandu tanpa lesen perkhidmatan awam yang sah akan berdepan risiko ditahan SPAD.


Tags / Kata Kunci: teksi , Uber , GrabCar

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Kolumnis

iklan

Iklan