Mahasiswa Dinasihat Tidak Terlibat Dengan Perhimpunan Bersih 4.0

Diterbitkan: Isnin, 24 Ogos 2015 8:33 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh menasihatkan golongan mahasiswa supaya tidak terlibat dengan perhimpunan Bersih 4.0 yang dirancang diadakan hujung minggu ini. 

Beliau berkata selain bertentangan dengan undang-undang, penyertaan mahasiswa dalam perhimpunan itu juga akan menjejaskan reputasi institusi pengajian masing-masing. 

"Tak payahlah (sertai) ... ini bukan sahaja menyusahkan orang ramai tetapi juga peniaga. 

"Janganlah dengar tohmahan-tohmahan yang kata pilihan raya kita tidak bersih, sebenarnya tidak berlaku pun ... dulu pun dah ada (perhimpunan) Bersih,"katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kumpulan Media Karangkraf di sini, Isnin. 

Idris diminta mengulas mengenai perhimpunan Bersih 4.0 yang dirancang diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur; Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah) pada Sabtu dan Ahad ini. 

Beliau berkata mahasiswa yang didapati terlibat boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 atau mengikut undang-undang negara sedia ada. 

Sebelum ini, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan itu kerana ia menyalahi undang-undang dan tidak memenuhi syarat notis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan