Kajian Mengenai E-Rokok Siap Tahun Depan

Diterbitkan: Ahad, 23 Ogos 2015 1:18 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kajian mengenai ketagihan rokok elektronik (e-rokok) yang dijalankan oleh Institut Perubatan Respiratori (IPR) sejak 2013, dijangka siap awal tahun depan.

Perunding Perubatan Kanan IPR Prof Datuk Dr Abdul Razak Abdul Muttalif berkata penyelidikan itu kini dalam peringkat awal kajian epidemiologi dan memerlukan lebih banyak masa untuk menjalankan kajian mendalam mengenai  bukti-bukti yang kukuh.

"Isu e-rokok adalah kontroversi, terdapat kebaikan dan keburukan. Kami perlu menunggu keputusannya dan juga akan mendapatkan maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang akan mengambil masa yang lama, selewat-lewatnya  tahun depan.

"Kami telah menyemak pelbagai kertas mengenai e-rokok yang diterbitkan oleh badan yang berlainan, persatuan dan kertas kajian saintifik di seluruh dunia.

"Sebahagian daripada mereka bersetuju e-rokok perlu diharamkan dan terdapat juga penemuan bahawa ia patut dikawal," katanya.

E-rokok adalah satu alat elektronik yang mensimulasi atau menyerupai cara  merokok.

Abdul Razak berkata perokok e-rokok mungkin mengalami akut atau kesan jangka pendek seperti batuk dan keletihan.

"Kesan kronik atau kesan jangka panjang ialah kanser, penyakit jantung dan banyak lagi penyakit berbahaya yang lain.

"Yang paling membimbangkan sekarang ialah ramai orang yang menyalahgunakan alat ini dengan menambah dadah seperti marijuana dan heroin, yang akan mendatangkan lebih banyak mudarat kepada tubuh badan dan ini akan menyukarkan  pihak berkuasa untuk mengawalnya," kata beliau.

Abdul Razak berkata negara yang telah mengharamkan rokok elektronik ini termasuk Singapura, Brunei dan Thailand manakala India dilaporkan merancang untuk mengharamkan tidak lama lagi.

IPR ialah pusat rawatan utama bagi penyakit paru-paru seperti batuk kering, asma, kanser paru-paru serta penyakit berkaitan paru-paru seperti gangguan tidur.

Institut ini juga menjalankan eksperimen ke atas penyakit, termasuk faktor risiko seperti merokok.

Pusat ini juga menjalankan, menerbitkan dan membentangkan kajiannya di banyak negara termasuk di Amerika Syarikat, Jepun dan Thailand.

"IPR sangat aktif dalam menjalankan penyelidikan dan kami sekarang sedang menjalankan penyelidikan baharu bagi WHO mengenai batuk kering, yang bermula bulan lepas dan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan," katanya.

Tags / Kata Kunci: e-rokok

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan