Polis Nasihat Orang Ramai Tidak Sertai Perhimpunan Bersih Di Padang Merdeka

Diterbitkan: Jumaat, 21 Ogos 2015 1:47 PM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Orang ramai yang berhasrat untuk menyertai perhimpunan Bersih 4.0 pada 29 dan 30 Ogos ini di Padang Merdeka dinasihatkan membatalkan niat itu kerana kerajaan negeri dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) tidak membenarkan sebarang aktiviti diadakan kerana padang berkenaan sedang dibaik pulih.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, penganjur dibenarkan mengadakan perhimpunan dengan syarat tidak diadakan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pemilik atau pentadbiran tempat berkenaan serta perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Roslan berkata, sehubungan dengan keputusan larangan yang dibuat kerajaan negeri dan DBKU itu, pihaknya akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang ingkar dan ingin meneruskan perhimpunan di Padang Merdeka itu.

Beliau berkata semalam pihaknya mengadakan pertemuan bersama lapan orang wakil penganjur perhimpunan yang diketuai Nicholas Mujah Ason dan telah memaklumkan tentang bantahan daripada kerajaan negeri dan DBKU.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Polis Daerah Kuching di Padang Kawad Balai Polis Tabuan Jaya, di sini, Jumaat.

Mengulas lanjut, Roslan berkata jika mana-mana pihak masih berdegil dan meneruskan perhimpunan di padang berkenaan, jika ditangkap dan sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.

"Nasihat saya kepada penduduk Kuching atau Sarawak yang ingin hadir (perhimpunan) kalau tahu bahawa perhimpunan akan dianjurkan di Padang Merdeka, jangan pergi atau hadir sebab itu akan melanggar syarat di bawah Seksyen 15 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000," katanya.

Ditanya maklum balas daripada penganjur selepas dimaklumkan mengenai larangan tersebut, Roslan berkata mereka memberi respons positif dan menyatakan akan membuat rayuan kepada kerajaan negeri dan DBKU supaya larangan itu ditarik balik.

Menurutnya dalam pertemuan itu, polis juga mencadangkan sebagai alternatif penganjur boleh mengadakan perhimpunan di dua lokasi alternatif lain iaitu di Padang Song Kheng Hai ataupun mana-mana stadium yang bersesuaian di bandar raya itu. -- Bernama


Tags / Kata Kunci: Bersih 4.0 , Padang Merdeka

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan