Operasi Bas Ekspres Pindah Ke TBS-BTS Berperingkat - SPAD

Diterbitkan: Jumaat, 21 Ogos 2015 3:21 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perpindahan perkhidmatan bas ekspres ke Terminal Bas Selatan - Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) bukan sahaja membabitkan pengusaha di Pudu Sentral, malahan akan turut melibatkan operasi pengangkutan awam jarak jauh di hentian lain di ibu negara.

Sumber Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkata, langkah itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan setakat ini, tiada tarikh khusus ditetapkan untuk melaksanakan perpindahan bagi hentian lain kecuali Pudu Sentral pada akhir tahun ini.

"Buat masa ini, perpindahan hanya melibatkan pengusaha bas ekspres jarak jauh di Pudu Sentral. Kita memang merancang untuk menyeragamkan operasi bas ekspres secara berpusat di TBS-BTS.

"Tiada tarikh khusus bagi penamatan operasi di hentian sedia ada yang lain. Ia perlu dilakukan secara berperingkat kerana proses perpindahan ke TBS-BTS bukan mudah dan memerlukan masa," katanya kepada mStar Online.

Menurut sumber itu lagi, penamatan operasi di Pudu Sentral bukan keputusan SPAD sebaliknya sebahagian daripada perancangan kerajaan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk mempertingkatkan pengangkutan awam bandar.

"Notis itu (penamatan operasi) bukan dikeluarkan atas arahan SPAD. Kami hanya bertindak sebagai agensi yang mengawal selia perkhidmatan pengangkutan awam darat seperti kereta api, bas dan teksi," katanya.

Sumber itu menjelaskan, penamatan operasi di Pudu Sentral juga bertujuan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di ibu kota.

"Niat utama untuk kurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya di tengah bandar. Lagipun bas dua tingkat tidak boleh memasuki ruang mengambil penumpang kerana laluannya sempit. Jadi perpindahan ke TBS-BTS adalah jalan terbaik untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Tambah sumber itu lagi, hentian TBS-BTS yang menelan belanja RM570 juta dilengkapi pelbagai kemudahan dan mempunyai 55 buah platform serta cukup menampung bas ekspres sedia ada.

Sementara itu, mStar Online difahamkan SPAD bersama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan  pengendali premis tersebut, UDA Mall Sdn Bhd akan mengadakan sidang media khas mengenai penutupan operasi bas ekspres jarak jauh di Pudu Sentral pada pertengahan bulan depan.

"Arahan penamatan operasi di Pudu Sentral sebenarnya masih belum diumumkan secara rasmi lagi. Jadi kami akan memaklumkan mengenai perkara itu pada sidang media khas yang dijangka diadakan bulan depan," katanya.

Pada 13 Ogos lalu, SPAD mengesahkan operasi perkhidmatan bas ekspres jarak jauh di Pudu Sentral atau sebelum ini dikenali sebagai Hentian Pudu Raya akan ditamatkan hujung tahun ini.

Bagaimanapun, perkhidmatan bas ekspres jarak dekat masih lagi beropersi di hentian tersebut seperti biasa.

Mengenai isu tambang bas ekspres, Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar memberitahu pihaknya tidak ada perancangan untuk meliberalisasikan kadar tambang perkhidmatan tersebut sebagaimana yang dilaksanakan terhadap bas sekolah.

"Buat masa ini kita tak ada perancangan untuk bebaskan tambang bas sekolah tapi kita memahami masalah yang dihadapi operator perkhidmatan ini. (Kadar tambang) Ia bergantung kepada keputusan kerajaan," katanya.


Tags / Kata Kunci: TBS-BTS , bas ekspres

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan