NGO Dakwa Peserta Bersih 'Dibayar'

Diterbitkan: Jumaat, 21 Ogos 2015 9:58 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos mendakwa mempunyai bukti bahawa terdapat peserta Bersih 4.0 'dibayar' melalui dana yang dikatakan mencecah RM30 juta, untuk menghadiri perhimpunan berkenaan pada 29 dan 30 Ogos ini.

Beliau berkata kewujudan dana itu didedahkan oleh 37 belia yang mengaku menerima sejumlah wang daripada ahli politik dan ahli perniagaan sebagai duit poket mereka untuk menyertai perhimpunan berkenaan.

"Mereka (37 belia) telah datang berjumpa saya pada Jumaat lepas dan mengaku dibayar wang pendahuluan sebanyak RM100 dan akan dibayar RM300 kemudian.

"Bayaran itu dibuat dengan syarat mereka perlu berada di Dataran Merdeka selama dua hari, di samping makan minum sebanyak empat kali sehari serta pengangkutan percuma," kata Jamal.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis mengenai perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini.

Jamal berkata pihaknya telah menyerahkan bukti dan dokumen berkaitan dakwaan itu kepada polis untuk siasatan lanjut.

"Polis kena siasat kerana perkara ini, negara mungkin akan terjerumus ke dalam keruntuhan demokrasi melalui demonstrasi jalanan," katanya.

Tags / Kata Kunci: Bersih 4.0

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan