Mayat Mangsa Kelima Letupan Bom Bangkok Tiba Di Pulau Pinang

Diterbitkan: Jumaat, 21 Ogos 2015 12:27 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Satu lagi mayat mangsa yang terkorban dalam letupan bom di pusat bandar Bangkok, Isnin lepas, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas dekat sini, Khamis malam.

Mayat Lim Soo See, 52, yang diterbangkan dari Bangkok dengan pesawat Thai Airways TG 425, tiba di Kompleks Kargo LTAPP pada 10.20 malam.

Turut kelihatan di kompleks itu adalah kira-kira 20 anggota keluarga  mendiang Soo See.

Semalam, mayat empat rakyat Malaysia yang terkorban dalam letupan bom itu tiba di Kompleks Kargo LTAPP pada 11 malam.

Mereka adalah Lim Siew Gaik, 49; (adik Soo See), menantu lelakinya Lee Tze Siang, 33; anak lelakinya Neoh Jai Jun, 20; dan cucu perempuannya Lee Jing Xuan, empat tahun.

Anak saudara Soo See, Neoh Yee Ling, 33, yang terselamat dalam kejadian itu mengiringi keempat-empat mayat berkenaan, manakala suami Siew Gaik, Neoh Hock Guan, 55, yang turut terselamat, tiba di rumahnya di Taman Dedap, Butterworth kira-kira 5.30 petang semalam.

Kesemua mangsa adalah daripada satu keluarga yang bercuti di Bangkok dalam kumpulan tujuh orang.

Suasana suram menyelubungi Kompleks Kargo LTAPP apabila anggota keluarga dilihat menitiskan air mata dan cuba mengelak pemberita serta jurugambar yang menunggu di pekarangan kompleks berkenaan.

Difahamkan mayat akan dibawa ke rumah keluarga mangsa di Taman Dedap, Butterworth.

Jasad Tze Siang dan Jing Xuan kini ditempatkan di rumah mereka di Taman Cengal, Butterworth dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Cina Sungai Lembu, Berapit esok.

Mayat Soo See dijangka disemadikan bersama adiknya, Siew Gaik serta anak saudaranya di tanah perkuburan yang sama pada Ahad.

Dalam kejadian letupan bom di persimpangan Ratchaprasong berdekatan Kuil Erawan dan pusat beli-belah di Bangkok pada 7 malam (8 malam waktu Malaysia) Isnin lepas, lima rakyat Malaysia terkorban dan tiga lagi cedera.

Mereka adalah antara 20 orang yang maut dan 123 yang cedera akibat letupan bom itu, satu daripada kes keganasan paling buruk di Bangkok dalam tempoh beberapa bulan lepas.

Tags / Kata Kunci: Bangkok

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan