NGO Pro-BN Rancang Demo Tolak Keganasan

Diterbitkan: Khamis, 20 Ogos 2015 8:20 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Susulan penganjuran Bersih 4.0 pada 29 dan 30 Ogos ini, sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan pro Barisan Nasional (BN) merancang untuk mengadakan perhimpunan pada tarikh sama.

Dikenali sebagai 'Himpunan Solidariti Untuk Mu Malaysia', ia menyasarkan penyertaan sehingga 10,000 orang yang akan berkumpul di hadapan bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Pengerusi Pakatan NGO PRO-BN, Zulkarnain Mahdar berkata, perhimpunan berkenaan bakal diisi dengan program ceramah menolak keganasan dan penyerahan memorandum kepada wakil Perdana Menteri mengenai ikrar kesetiaan kepada raja dan negara.

"Perhimpunan ini juga sebagai tindak balas kepada perhimpunan Bersih 4.0 yang jelas cuba mewujudkan sentimen kebencian kepada negara. Sebaliknya melalui perhimpunan ini kami akan mewujudkan sentimen sayangi Malaysia.

"Harus diingat slogan Bersih 4.0 kali ini jelas menunjukkan wujudnya kenyataan yang boleh menimbulkan provokasi dengan menaikkan kemarahan rakyat apabila meletakkan mesej #TangkapNajib dan #NajibRasuah," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, pembangkang melakukan pembohongan kepada rakyat kerana menjadikan isu derma politik RM2.6 bilion sebagai asas perhimpunan berkenaan.

"Sebelum ini SPRM sendiri mengesahk kes RM2.6 bilion bukan rasuah, sebaliknya ia sumbangan atau dana politik yang dibenarkan undang-undang.

"Isu 1MDB ketika ini juga masih melalui proses siasatan oleh pihak yang bertanggungjawab. Persoalannya disini atas alasan apa yang boleh menyokong slogan bersih #TangkapNajib," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dalam kenyataan di laman rasmi Facebook kumpulan itu menegaskan perhimpunan tetap akan dijalankan seperti dirancang.

Katanya, Bersih 4.0 akan berkumpul sekitar atau di kawasan paling hampir dengan Dataran Merdeka dan tidak akan mengganggu persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2015 yang akan dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di dataran itu.

Polis meminta penganjur Bersih 4.0 mengubah lokasi perhimpunan yang dirancang di ibu kota, termasuk di Dataran Merdeka dan Padang Merbok berikutan lokasi berkenaan dianggap tidak sesuai.

Perhimpunan Bersih 4.0 dijadual diadakan serentak di Kuala Lumpur, Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah).

Tags / Kata Kunci: Bersih 4.0 , Pakatan NGO Pro BN

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan