Bom Bangkok: Mayat Empat Mangsa Akan Dikebumi Di Sungai Lembu

Diterbitkan: Khamis, 20 Ogos 2015 10:39 AM

Potret keluarga Hock Guan di kediamannya di Butterworth. Beliau kehilangan lima ahli keluarganya sekelip mata dalam kejadian letupan bom di Bangkok.

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Mayat empat rakyat Malaysia yang terkorban dalam letupan bom di Bangkok, Thailand Isnin lepas akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Cina Sungai Lembu, Bukit Mertajam.

Mayat Lim Siew Gaik, 49 dan anak lelakinya Neoh Jai Jun (anak bongsu), 20 akan dikebumikan Ahad ini manakala jenazah menantu lelakinya, Lee Tze Siang dan cucu perempuannya Lee Jing Xuan, 4 akan dikebumikan Khamis.

Mayat keempat-empat mangsa itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada pukul 11 malam Rabu sebelum dihantar pulang ke kediaman masing-masing untuk upacara sembahyang.

Mayat Siew Gaik dan anak lelakinya tiba di kediaman di Taman Dedap pada kira-kira pukul 2.10 pagi, manakala jenazah Tze Siang dan anak perempuannya dihantar ke Taman Cengal dan tiba kira-kira pukul 2 pagi.

Lebih 100 orang terdiri daripada anggota keluarga, sanak saudara dan sahabat mendiang Siew Gaik dan suaminya Neoh Hock Guan, mula berkumpul di perkarangan rumah sejak 11 malam tadi.

Suasana hiba menyelubungi apabila jenazah Siew Gaik dan anak lelakinya dibawa masuk ke kediaman dan kelihatan ibunya, Tan Kim Kee, 71 menangis teresak-esak di hadapan keranda bagi menatap wajah anak perempuan dan cucu lelakinya sebelum ia ditutup.

Sejurus selepas itu, upacara sembahyang dimulakan dan disertai anak lelaki mendiang, Neoh Kah Loon, 26 dan anak perempuan, Neoh Huey Shinn, 31 serta suaminya Hock Guan, 55, antara yang terselamat dalam letupan bom. 

Juga terselamat ialah anak perempuan Siew Gaik, Neoh Yee Ling, 33 yang hamil lima bulan.

Lima orang terkorban termasuk Lim Su See, 52 iaitu kakak kepada Siew Gaik daripada tujuh sekeluarga yang bercuti di Bangkok sejak Sabtu lepas dan dijadual pulang ke Malaysia pada Selasa (18 Ogos).

Mayat Su See dijadualkan tiba di Pulau Pinang malam ini.

Isnin lepas, kejadian letupan bom di persimpangan Ratchaprasong berdekatan Kuil Erawan dan pusat membeli-belah di Bangkok pada pukul 7 malam waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia) telah mengorbankan 20 orang dan 123 cedera.

Sementara itu, Hock Guan yang masih terkejut dengan kejadian letupan bom itu, berkata semuanya berlaku sepintas lalu ketika tujuh sekeluarga itu sedang bersembahyang di kuil Erawan.

Menceritakan kembali detik mencemaskan dan menyedihkan itu, beliau berkata letupan kuat berlaku tiba-tiba semasa dia sedang sembahyang dan merasakan tolakan kuat selepas itu.

"Selepas sedar dan bangun, saya tengok keadaan kelam kabut dan semua ahli keluarga saya hilang. Orang pertama yang saya jumpa ialah anak perempuan saya, Yee Ling yang selamat.

"Lepas itu, saya nampak menantu saya (Tze Siang), saya panggil tapi tak ada jawapan. Selepas itu saya jumpa isteri saya (Siew Gaik) yang masih bernyawa, masih bergerak tapi sangat lemah. Kemudian, saya nampak anak lelaki saya (Jai Jun), tapi dia sudah tidak bernyawa," katanya sambil menahan sebak.

Hock Guan yang kehilangan lima ahli keluarga dalam sekelip mata berkata, beliau telah hilang segala-galanya dan ketika itu hanya mampu menjerit untuk meminta tolong.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Bangkok , bom , Sungai Lembu , Lim Siew Gaik

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan