DUN Selangor Lulus Usul Teliti Semula Penubuhan DEIG - Berita Semasa | mStar

DUN Selangor Lulus Usul Teliti Semula Penubuhan DEIG

Diterbitkan: Rabu, 19 Ogos 2015 8:52 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Rabu meluluskan usul meminta kerajaan negeri meneliti semula penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) bagi menggantikan Menteri Besar Incorporated (MBI) dan membentangkan secara terperinci mengenai entiti itu pada persidangan akan datang.

Sebelum itu, Speaker Hannah Yeoh mengumumkan penerimaan usul berkenaan selepas ia dicadangkan Saari Sungib (PAS-Hulu Kelang) dan disokong oleh Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku).

Usul itu kemudian dibahaskan oleh beberapa anggota DUN (Adun) termasuk Yaakob Sapari (PKR-Kota Anggerik), Dr Xavier Jayakumar (PKR-Sri Andalas), Yeo Bee Yin (DAP-Damansara Utama), Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) dan Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang).

Semasa membahaskannya, Mohd Shamsudin berkata penubuhan DEIG menimbulkan persoalan dari segi tatacara pengurusan anak syarikat yang tidak terkawal selain dibuat secara tergesa-gesa tanpa pengetahuan anggota dewan.

"Sepatutnya kerajaan negeri perlu ada kuasa mengawal pergerakan dan perjalanan entiti itu. DEIG ditubuh mengikut Akta Syarikat dan tidak diperuntukkan kepada kerajaan negeri suatu undang-undang untuk mengawal operasi ini di Selangor," katanya.

Mohd Shamsudin berkata kerajaan negeri sepatutnya memperkukuh MBI bukannya mewujudkan sebuah entiti baharu.

Sulaiman pula berkata beliau bimbang ketiadaan pengawalan operasi DEIG akan mencetuskan implikasi besar kepada kerajaan Selangor.

"Ini khususnya melibatkan pemindahan aset tanah seluas 2,000 hektar milik MBI kepada entiti itu," katanya.

Yeo pula mencadangkan supaya satu mekanisme diwujudkan bagi memastikan perjanjian yang melibatkan DEIG tidak berat sebelah terutamanya dalam menguruskan nilat aset MBI berjumlah RM6.3 bilion.

"Tanpa semak dan imbang, kita khuatir akan berlaku kelompangan dan penyalahgunaan wang rakyat sekiranya DEIG tidak berupaya melakukan pelaburan yang diharapkan," katanya.

Semasa menggulung usul itu, Menteri Besar Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) mempertahankan penubuhan DEIG.

Beliau berkata DEIG ditubuhkan bagi membolehkan kerajaan negeri untuk terlibat dalam aktiviti perniagaan khususnya yang membabitkan sektor-sektor tertentu bagi memelihara kepentingan rakyat.

Semalam, beberapa ADUN termasuk bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melahirkan kebimbangan terhadap ketelusan penubuhan DEIG yang akan mengambil alih peranan MBI dalam menguruskan pelaburan anak-anak syarikat di bawah pemerbadanan itu.

Mereka berkata sekiranya Menteri Besar berhasrat menstruktur semula anak-anak syarikat di bawah MBI, adalah lebih baik beliau mengukuhkan pemerbadanan itu dan bukannya mewujudkan entiti baharu seperti DEIG, yang ditubuhkan tanpa sebarang enakmen serta tidak perlu melapor kepada DUN Selangor.

Dalam penjelasannya semalam, Mohamed Azmin berkata entiti itu yang dimiliki sepenuhnya oleh MBI ditubuhkan pada Disember lepas untuk memberi fokus kepada sektor pelaburan, aset dan perniagaan semata-mata selain mengurangkan impak serta risiko perniagaan secara terus terhadap kerajaan negeri.

MBI pula akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja kebajikan rakyat Selangor dan tanggungjawab korporat, katanya.

Sidang dewan bersambung esok.

   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan